Seorang lelaki warga Sabah yang disahkan dijangkiti virus Zika sekali gus menjadikannya mangsa jangkitan tempatan yang pertama di Malaysia meninggal dunia petang tadi.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Memetik laporan BH Online, mangsa meninggal dunia akibat penyakit jantung dan bukan disebabkan kesan virus berkenaan.

"Beliau meninggal dunia petang tadi akibat penyakit jantung," katanya kepada portal itu.

BACA: Wanita Klang sah dijangkiti, kes pertama di negara ini

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan telah menerima satu kes jangkitan virus Zika tempatan yang pertama di Malaysia pada Jumaat.

Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan berkata mangsa merupakan seorang lelaki berbangsa Dusun berusia 61 tahun dan menetap di Taman Public Jaya Likas, Sabah.

“Pesakit mula mengalami demam pada 27 Ogos, 2016 dan mendapatkan rawatan pada kali pertama di Klinik Kesihatan Luyang di Kota Kinabalu pada 30 Ogos, 2016.

“Pada 31 Ogos 2016, pesakit mengalami demam yang lebih teruk, sakit otot serta diarrhea, dan telah mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2,” kata Dr Noor Hisham.