Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yakin dapat memenangi hati pengundi Cina di negeri itu biarpun timbul persepsi bahawa BN telah merampas kerajaan milik kaum Cina empat tahun lalu.

Beliau yakin masyarakat Cina di di negeri itu mementingkan kestabilan dan keamanan.

"Masyarakat Cina di Perak atau di mana saja dalam negara ini tentunya mahukan kestabilan dan keamanan kerana tanpa kestabilan dan keamanan, sesebuah negeri dan negara akan berantakan dan menjejaskan ekonomi" katanya kepada Astro Awani.

Ujar beliau pandangan mengatakan BN merampas kerajaan milik kaum Cina sebelum ini amat tidak wajar.

Dr Zambry berkata beliau tidak mahu melihat perspektif politik Perak dalam kotak pemikiran perkauman kerana politik negeri itu melibatkan berbilang kaum seperti negeri lain.

Dalam pada itu, Dr Zambry menjelaskan gerak kerja secara agresif selama empat tahun menyakinkan BN Perak untuk kekal mentadbir negeri tersebut.

Katanya selama empat tahun mereka telah mengenal pasti kelemahan sebelum ini yang menyebabkan parti itu ditolak.

"Sepanjang empat tahun ini BN Perak telah melaksanakan beberapa anjakan untuk memulihkan keyakinan rakyat.

"Kita mengenal pasti segala permasalahan dan telah membuat beberapa anjakan," ujar beliau.

Menyentuh soal persiapan Pilihan Raya pula, Dr Zambry menjelaskan BN Perak kini berada dalam fasa siap siaga untuk berdepan PRU-13.

Mengulas pembahagian kerusi dikalangan parti komponen BN, Dr Zambry menjelaskan isu tersebut telah diselesaikan.

Pembahagian kerusi mudah dilaksanakan kerana sudah wujud persefahaman antara komponen BN kerana menyedari kelemahan yang berlaku sebelum ini.