Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada sebarang penyelewengan berlaku berhubung kehilangan aset Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berjumlah RM1.33 juta seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara

Zahid Hamidi berkata laporan maklum balas berhubung kehilangan aset itu sudah pun diserahkan kepada Ketua Audit Negara, namun tidak sempat dimasukkan ke dalam laporan audit berkenaan.

Zahid berkata lampiran yang dikeluarkan oleh audit semalam dalam bentuk cetakan adalah sebelum maklum balas daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewakili PDRM.

Laporan telah diperjelaskan oleh pihak KDN mewakili PDRM.




Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Peralatan Polis dan Persidangan Ke-3 Asia 2013 di Putrajaya siang tadi.

Hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Dato' Sri Abdul Rahim Mohd Radzi dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Semalam Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang mendedahkan kehilangan 309 aset PDRM meliputi senjata api, gari dan kenderaan yang bernilai RM1.33 juta.

Kehilangan aset yang dikeluarkan bahagian pengurusan aset, Jabatan Logistik PDRM daripada 2010 hingga 2013 mendapati aset yang paling banyak adalah gari iaitu 156 unit diikuti senjata api 44 unit dan kenderaan 29 unit.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menjelaskan bahawa senjata api yang dilaporkan hilang baru-baru ini tidak pernah dilaporkan digunakan dalam mana-mana kes jenayah.

Setiap kehilangan ujarnya, dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa inkuiri bagi mengenalpasti punca kehilangan.

Beliau juga tidak menolak kehilangan peralatan senjata PDRM berlaku ketika bertugas.



Selain itu, Khalid juga berkata, PDRM akan memperoleh tujuh aset baharu dalam tempoh terdekat untuk memantapkan lagi tugasan pasukan itu.

Menurut beliau aset berkenaan merupakan alat komunikasi dan teknologi maklumat serta peralatan bagi sistem pengumpulan penganalisaan maklumat jenayah, khusus untuk jabatan siasatan jenayah PDRM.

Selain itu, PDRM juga akan menerima peralatan tambahan forensik untuk mengukur keupayaan dan keberkesanan penyiasatan di tempat-tempat kejadian, katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Pameran Peralatan Polis dan Persidangan Ke-3 Asia 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.

“Selain itu sebanyak 1,000 lagi motosikal akan ditambah dalam kita mengetengahkan lagi unit rondaan bermotosikal untuk mecegah jenayah pecah rumah di taman-taman perumahan," katanya.

Khalid berkata, PDRM juga memerlukan kenderaan peronda jenis kereta pacuan empat roda untuk kegunaan di Pantai Timur, Sabah bagi menangani masalah yang berlaku di sana.

"Untuk tempoh terdekat ini kita perlukan sekurang-kurangnya 10 kenderaan pacuan empat roda. Bukan berbentuk kereta perisai pengangkut tetapi trak pikup perisai yang sesuai untuk muka bumi di Pantai Timur, Sabah," kata khalid.

Menurutnya, keperluan lain termasuklah peralatan tambahan bagi mengukuhkan keselamatan di Sabah antaranya jaket kalis peluru, topi keledar balistik, senjata api, peluru dan kenderaan perisai.

Selain itu, PDRM juga akan membeli 30 lagi kuda tambahan untuk unit berkuda PDRM bertujuan mengawal rusuhan dan mencegah jenayah, katanya.

"Ini adalah usaha kita untuk memantapkan dan memodenkan lagi penugasan pasukan PDRM untuk tempoh jangka pendek melalui tujuh aset yang akan kita peroleh ini," katanya.