Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi hari ini mempertahankan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengenai beberapa senjata api polis yang dipercayai hilang disebabkan telah jatuh ke dalam laut.

Menurutnya, penjelasan yang diberikan oleh Khalid itu begitu telus tanpa ada sebarang perkara yang disembunyikan dari pengetahuan umum.

“Saya bersetuju kerana kadangkala ketika polis menjalankan tugasan atau operasi, senjata api milik mereka kadangkala boleh hilang tanpa disengajakan. Namun begitu, saya akan bertanya dengan PDRM supaya prosedur operasi standard (SOP) itu dapat dipertingkatkan dalam menjamin penjagaan rapi terhadap aset-aset milik PDRM ini dan yang lebih penting ianya tidak jatuh ke tangan yang salah,” katanya ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.

Beliau menambah, penjelasan tersebut adalah sangat telus dan apa yang penting disini adalah tiada wujudnya salah guna aset polis.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menjelaskan bahawa senjata api polis yang dilaporkan hilang menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012 tidaklah jatuh ke tangan penjenayah namun ianya berkemungkinan hilang disebabkan jatuh ke dalam laut dan sebagainya.

Beliau menambah senjata api yang dilaporkan hilang itu dilengkapi dengan tanda pengenalan tetapi sehingga kini, polis tidak mengesan senjata api yang hilang itu pernah digunakan untuk tujuan jenayah.

Kehilangan senjata api tersebut tidak semestinya jatuh ke tangan penjenayah, tetapi ianya boleh jadi jatuh sewaktu berada atas bot dalam laut.