PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipertanggungjawabkan untuk pengurusan bencana banjir dijangka melanda negara manakala Datuk Seri Fadillah Yusof akan memfokuskan hal ehwal Sabah dan Sarawak terutamanya Perjanjian MA63.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata selain itu Ahmad Zahid dan Fadillah juga berperanan memastikan jurang ekonomi antara rakyat di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak akan dikurangkan dengan langkah-langkah yang akan diambil bagi mengatasi masalah itu.

"Semua kuasa yang ada diagihkan kepada rakan-rakan yang telah diberi mandat, kita perlu siap sedia dengan bencana banjir ramalan kaji cuaca meramalkan cuaca akan lebih murung dan membebankan, jadi kita minta TPM (Ahmad Zahid) mempengerusikan jawatankuasa bencana dan adakan langlah-langkah segera memantau dan buat persiapan.

"Fadillah diberikan tugas untuk pastikan perkara bersangkut MA63 disegerakan terutama yang menimbulkan keresahan perlu segera diselesaikan," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet Khas di sini hari ini.

Anwar turut mengumumkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan dikurangkan kepada lapan kali berbanding 22 kali setahun yang diluluskan sebelum ini.

"Kita tidak ada kecenderungan mengutip dana haram, jadi hari saya ini saya sebagai Menteri Kewangan membatalkan keputusan cabutan khas perjudian," katanya.

Pada Sept 2021, kerajaan ketika itu meluluskan kekerapan cabutan khas nombor ramalan dari lapan kali kepada 22 kali.

Sementara itu, Anwar berkata beberapa langkah akan dilaksanakan bagi mengurangkan kos sara hidup termasuk mengurangkan harga telur.

Beliau berkata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu akan mengumumkan harga telur yang lebih rendah esok dan mengurangkan kebergantungan kepada kartel.

"Kita harap jumlah pengedaran telur di pasaran cukup dan harga telur yang diberitahu tadi akan dikurangkan," katanya.

Dalam pada itu Anwar juga menegur Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary kerana syarikatnya, Bernas memonopoli import beras.

"Untuk berlaku adil kita harus tahu kebenaran import bukan konsesi dan bukan dianugerahkan kepada beliau tetapi dianugerah kepada syarikat Bernas yang pada ketika itu dipunyai oleh Tan Sri Tan Boon Seng dan (Datuk Seri) Shahidan Kassim," katanya.

- BERNAMA