Jabatan Pelajaran Pulau Pinang yakin insiden kebocoran kertas soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lalu tidak akan berulang tahun ini berikutan penambahbaikan prosedur oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Pengarah Pelajaran Negeri Shaari Osman berkata, pelbagai langkah telah diambil termasuk pemantauan yang lebih ketat termasuk memastikan setiap pengawas dan kakitangannya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak inisiden soalan bocor yang berlaku pada tahun 2013.

“Kita telah mengikuti SOP sepenuhnya pada kali ini sebab itu saya memantau pagi tadi dan saya telah mendapati ia telah mengambil kira penambahbaikan yang telah dimulakan pada tahun ini.

"Kita doakan pada tahun ini kita dapat mengelakkan daripada berlaku kebocoran kerana ia merugikan semua pihak sebenarnya. Pelajar-pelajar juga akan terjejas dari segi psikologi dan ia sepatutnya dielakkan daripada berlaku,” ujar Shaari.

Beliau berkata demikian selepas meninjau perjalanan hari pertama peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul, Bayan Lepas pada Isnin.

Tambah Shaari, pihaknya memberi komitmen akan memberi perhatian serius dalam melindungi kerahsiaan kertas-kertas soalan SPM untuk mengelakkan ia mengganggu emosi calon-calon SPM.

Insiden kertas soalan SPM bocor dilaporkan berlaku pada tahun 2013 membabitkan kertas soalan Matematik.

Shaari berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan perjalanan peperiksaan SPM yang berjalan lancar hari ini.

Seramai 22,642 calon menduduki peperiksaan SPM bermula hari ini di 168 pusat peperiksaan di seluruh negeri Pulau Pinang.

Semua calon terdiri daripada 20,067 sekolah menengah kerajaan, 566 calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM),157 calon sekolah agama, 120 calon sekolah swasta dan 1,732 calon persendirian.

Selain itu, terdapat 93 calon bantuan khas yang menduduki SPM hari ini.

Calon-calon bantuan khas itu antaranya adalah daripada golongan yang mengalami Sindrom Down, kurang upaya penglihatan dan pendengaran, rabun dan spastik.