KUALA LUMPUR: Akta Perhubungan Palestin perlu diwujudkan bagi memastikan negara-negara yang mempunyai kuasa veto bersifat alternatif kepada Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara "pro kemanusiaan"  boleh memberikan sokongan kepada Palestin, yang ketika ini berdepan penindasan rejim Israel, dalam mendapatkan kemerdekaan.

Menurut Penganalisis Dasar Politik, Ekonomi dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Md Shukri Shuib, akta tersebut juga perlu digazetkan di setiap Dewan Perundangan negara-negara terlibat sebagai Akta Khas berkaitan Kedaulatan Palestin.

Melalui sokongan tersebut, jelas beliau satu kuasa alternatif dapat digerakkan melibatkan kerjasama daripada negara berkuasa besar seperti Rusia, China, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), ASEAN, serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Selain itu, jelas beliau, Kongres Sokongan Sedunia Untuk Palestin boleh diadakan oleh Kuala Lumpur dengan mengumpulkan negara-negara yang bersimpati terhadap nasib Palestin.

"Jadi kalau kita adakan kongres antarabangsa untuk Palestin ini, dan setiap negara termasuk di Eropah untuk menerima pakai dan mengazetkan Akta Perhubungan Palestin, seperti mana dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Taiwan iaitu Akta Perhubungan Taiwan.

"Akta ini sangat unik walaupun Taiwan itu bukan sebahagian daripada AS, tetapi tanggungjawab AS untuk menjaga Taiwan daripada sebarang ancaman terutama cabaran daripada Beijing.

"Dalam konteks ini, kuasa alternatif seperti Rusia, China, NAM, OIC dan negara-negara sahabat Palestin untuk adakan Akta Perhubungan Palestin dan digazetkan di dalam setiap Parlimen negara masing-masing, yang menyokong kemerdekaan Palestin," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai laporan bahawa kerajaan sedang memantau rapat keputusan Dewan Perwakilan AS, meluluskan rang undang-undang (RUU) berhubung sekatan terhadap pihak luar yang menyokong Hamas dan pergerakan Jihad Islam Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya akan melihat secara terperinci terlebih dahulu kandungan RUU berkenaan sebelum melaksanakan apa-apa tindakan susulan.

Mengulas lanjut, Md Shukri berkata RUU berhubung sekatan terhadap pihak luar yang menyokong Hamas, dibimbangi akan menyekat fungsi masyarakat antarabangsa yang bersifat multilateral daripada menyalurkan bantuan kepada Palestin.

Jika perkara itu berlaku, jelas beliau lagi ia kemungkinan menyebabkan kawasan Semenanjung Gaza akan terpinggir dan negara-negara tertentu akan lebih memberi fokus kepada Tebing Barat kerana menjaga hubungan dengan AS.

Bagi negara seperti Malaysia pula, Md Shukri berpandangan risiko yang mungkin dihadapi antaranya ialah sekatan perdagangan daripada AS.