Wisma Putra dirayu supaya campur tangan untuk membawa pulang 160 pelajar Malaysia yang sudah beberapa bulan terkandas di Yaman akibat isu pandemik COVID-19.

Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee berkata, pihaknya memandang serius perkembangan tersebut dan berharap kerajaan segera berusaha membawa pulang pelajar terbabit di negara berkenaan.

“Menerusi satu kenyataan yang saya terima daripada Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA), mereka mendakwa 160 pelajar sudah beberapa bulan terkandas akibat wabak itu.

“Pihak PERMAYA dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Oman telah beberapa kali berusaha membawa pulang pelajar berkenaan, tetapi tidak ada pesawat yang terbang ke Yaman atas faktor keselamatan.

“Walaupun syarikat penerbangan Yaman - Yamenia Airways telah beroperasi tetapi kos penerbangan terlalu tinggi dan membebankan pelajar termasuk yang sudah berkeluarga,” katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Isnin.





Kata Syed Ali lagi, selain masalah kewangan, ada pelajar yang menghidap penyakit kronik selain pasport yang hampir tamat tempoh.

“Sehubungan itu, atas dasar kemanusian dan tanggungjawab bersama, saya sekali lagi merayu kerajaan segera mengambil langkah membawa pulang pelajar berkenaan,” ujarnya.