Malaysia tidak serius dalam usaha membanteras jenayah hidupan liar dan perhutanan biarpun dinamakan sebagai "negara penting dan pusat transit utama" bagi penyeludupan hidupan liar dan pembalakan haram, dakwa laman web WildLeaks.

Laman web yang memberi fokus kepada usaha memerangi jenayah berkenaan dilancarkan pada Jumaat lepas dan menguar-uarkan dirinya sebagai platform dalam talian pertama untuk orang ramai berkongsi maklumat secara rahsia dan selamat dengan pihak berkuasa.

WildLeaks yang juga beroperasi dalam Bahasa Malaysia berharap kewujudannya akan menggalakkan pemberi maklumat untuk tampil berkerjasama bagi menangani penyeludup haiwan liar dan pembalak haram di negara ini.

Dalam satu wawancara melalui e-mel, ketua projek WildLeaks, Andrea Crosta memberitahu Astro AWANI bahawa "Malaysia adalah sebuah negara penting dalam soal jenayah hidupan liar dan merupakan negara transit penyeludupan gading gajah."

"Tetapi biarpun ada beberapa rampasan gading gajah dalam tempoh tiga tahun lalu, tiada tangkapan yang signifikan yang telah dibuat," katanya.

Crosta mengulangi kritikan sama yang disuarakan oleh pihak antarabangsa terhadap pihak berkuasa hidupan liar di negara ini apabila mendakwa kerajaan Malaysia tidak melihat usaha memerangi jenayah tersebut sebagai satu keutamaan.

"Membanteras jenayah hidupan liar, bukan saja penyeludupan haram gading gajah, masih tidak dilihat sebagai satu keutamaan oleh kerajaan, berbanding di Afrika dan tempat lain," kata Crosta.

Ditanya kenapa laman web seperti itu harus ada, Crosta berkata usaha membanteras jenayah itu memerlukan satu pendekatan baru dan inovatif dan segera bagi membolehkan masyarakat sivil di seluruh dunia "memainkan peranan mereka".

"Saya fikir usaha memerangi jenayah hidupan liar yang masih belum berjaya kita tangani masih dibuat menggunakan pendekatan dan cara lama, strategi yang kurang berkesan dan teknologi yang mundur. Sindiket jenayah dan kumpulan di belakang jenayah hidupan liar ini jauh maju, terurus dan mempunyai rangkaian yang lebih baik," kata Crosta.

Crosta mengetuai Liga Tindakan Gajah (EAL) yang menaja dana untuk WildLeaks. Projek ini juga diuruskan oleh sebuah kumpulan kecil "individu berpengalaman termasuk pengarah NGO alam sekitar, peguam alam sekitar, wartawan bertauliah, pakar keselamatan dan bekas pegawai penguatkuasa."

Laporan media sebelum ini menyebut ada sekurang-kurangnya sembilan kes rampasan gading gajah bernilai berjuta-juta ringgit di negara ini sejak 2011.

Statistik daripada pangkalan data yang digunakan untuk menganalisa pola perdagangan gading gajah dunia, Sistem Maklumat Perdagangan Gajah (ETIS) meletakkan selain daripada sembilan kes tersebut, ada 22 kes rampasan di negara lain yang melibatkan Malaysia.

Malaysia juga disenaraikan sebagai sebuah negara "pengimport" dalam sekurang-kurangnya empat daripada 31 kes tersebut.

Antara yang mengasaskan laman web itu ialah Pengarah Penyiasatan Khas National Geographic, Bryan Christy, yang sebelum ini menulis 'The Lizard King', buku yang merakamkan kisah warga Malaysia yang didakwa penyeludup hidupan liar, Anson Wong.

Menurut Crosta, berdasarkan pengalaman kumpulannya di lapangan, ada ramai yang mempunyai maklumat penting tetapi mereka tidak pernah menyalurkannya kepada pihak berkuasa atas beberapa sebab. "Kami mahu menawarkan ruang yang baru, tidak memihak dan selamat (untuk mereka menyalurkan maklumat)."

Selepas mendapat maklumat itu, WildLeaks berkata sebuah pasukan penyiasat yang berpengalaman dan bertanggungjawab, wartawan penyiasat dan bekas pegawai penguatkuasa akan meneliti dokumen dan maklumat yang diberikan itu.

"Selepas maklumat rahsia itu diterima, dinilai dan disahkan oleh WildLeaks, kami akan menyusun pelan tindakan bagi membuat penyiasatan atau berkongsi dengan media atau, sekiranya perlu, berkongsi dengan pegawai penguatkuasa terpilih yang boleh dipercayai," tambah Crosta.

Katanya lagi, matlamat WildLeaks ialah untuk "mendedahkan jenayah hidupan liar dan mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan".

Jenayah hidupan liar dikatakan sebagai jenayah rentas sempadan yang keempat terbesar di dunia dengan nilai tahunan sekurang-kurangnya AS$17 bilion (RM56.5 bilion) selepas dadah, wang palsu dan penyeludupan manusia.

Ia juga merupakan ancaman utama kepada banyak spesis haiwan termasuk gajah, badak sumbu, harimau dan monyet.

Jenayah perhutanan iaitu perdagangan kayu balak haram pula memusnahkan hutan dan habiat haiwan liar, yang juga memberikan kesan kepada manusia dan ekonomi.

Pada November tahun lalu, laporan penyiasatan Al-Jazeera mendakwa Malaysia menjadi pilihan kepada penyeludup hidupan liar kerana "risiko rendah" untuk tertangkap.