KUALA LUMPUR: Tiga lelaki masing-masing dari Sierra Leone dan Liberia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak wang tunai berjumlah US$30,000 milik seorang peniaga lelaki warga Jepun, bulan lepas.

Patrick Samba, 34, dan Ibrahim Jalloh, 36, masing-masing warga Sierra Leone serta Douglas Daniel Devine, 38, warga Liberia didakwa bersama-sama dua lagi individu melakukan rompakan berkumpulan terhadap Hiroyuki Azuma, 58, dengan merompak wang tunai US$30,000 (RM129,945) milik mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah restoran dalam sebuah pusat beli-belah di Brickfields di sini pada 1.30 tengah hari, 9 Ogos lepas.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah tidak mencadangkan jaminan memandangkan kesemua tertuduh tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Bagaimanapun, peguam AR Palaya yang mewakili ketiga-tiga tertuduh berkata anak guamnya mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan ia disimpan oleh ejen masing-masing atau di kolej tempat mereka belajar.

"Mohon mahkamah menetapkan satu tarikh singkat untuk saya membuat pengesahan terhadap dokumen perjalanan mereka sebelum membuat rayuan berhubung jaminan," kata peguam.

Hakim Egusra Ali tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 25 Sept ini untuk sebutan kes.

-- BERNAMA