KUALA LUMPUR: Warga kota dipelawa menyalurkan idea dan cadangan untuk penyediaan Belanjawan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 2024 agar ia sempurna dan memenuhi keperluan serta harapan penduduk di ibu kota.

DBKL dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan idea dan cadangan itu boleh dikemukakan menerusi capaian Portal Idea Belanjawan DBKL 2024 https://sites.google.com/view/belanjawandbkl2024 bermula 1 April hingga 31 Mei ini.

"Penglibatan warga kota dalam mengemukakan idea dan cadangan diharap dapat menghasilkan Belanjawan DBKL 2024 yang memenuhi keperluan sebenar warga kota dalam mencapai kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan ibu kota," menurut kenyataan itu semalam.

Menurut DBKL, idea dan cadangan yang ingin dikemukakan berdasarkan kepada lapan program utama iaitu pembersihan bandar dan kesihatan; kemudahan infrastruktur jalan raya, sistem lalu lintas dan saliran; penghijauan, kemudahan taman dan rekreasi; serta penyelenggaraan Perumahan Awam dan Perumahan Rakyat.

"Selain itu, ia turut merangkumi kesejahteraan komuniti; pengurusan penjaja dan peniaga kecil; kebudayaan, sukan dan pelancongan, serta kemudahan awam lain," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA