JOHOR BAHRU: Rata-rata penduduk Johor teruja untuk menyambut kedatangan tahun baharu terutama apabila mereka akan mula menikmati cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari depan.

Bagi pekerja swasta, Abdul Rahman Mohamad, bapa lima anak ini sudah siap sedia mengatur jadual hujung minggu bersama keluarga memandangkan sebelum ini sukar untuk melakukan aktiviti kerana perbezaan hari cuti.

"Syarikat saya bekerja bercuti pada Sabtu dan Ahad namun lima anak saya masih bersekolah. Hari mereka cuti pada Jumaat Sabtu manakala saya pula hari Jumaat hari bekerja.

"Selepas ini, saya tak pening kepala nak atur jadual hujung minggu. Cuti hujung minggu kami dah selaras. Alhamdulillah," katanya.

Bagi Yasmin Raihana Ramlan yang merupakan warga Johor Bahru, ibu dua anak itu meluahkan kesediaan untuk menikmati cuti hujung minggu depan dengan mengunjungi ibu bapanya yang menetap di Kuala Lumpur.

"Saya orang pertama yang teruja apabila cuti hujung minggu ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025. Bila dapat tahu berita ini, orang pertama saya hubungi ialah ibu bapa di KL.

"Semua adik-beradik bekerja di Kuala Lumpur, jadi lebih mudah untuk bertemu keluarga di sana. 

"Bagi sektor kerajaan memang akan ada impak yang besar. Contoh, jika pasangan suami isteri, suami kerja kerajaan dan isteri bekerja swasta akan ada impak besar untuk bahagi masa bersama keluarga sepenuhnya pada hujung minggu.

"Alhamdulillah selepas ini hujung minggu kami lebih lancar hendaknya, insya-Allah," katanya.

Tambahnya, dia juga menjangkakan peningkatan kesesakan jalan raya akan berlaku di bandar raya ini terutama pengunjung dari Singapura datang pada hujung minggu.

Pada 7 Oktober lalu, cuti hujung minggu di Johor diumum akan ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, dalam kenyataan di Facebook, baginda sudah menitahkan perkara tersebut kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk dibincangkan.

Pada 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim menukar cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan agama Islam sebagai agama rasmi Johor.

Perubahan itu sebelum ini sebenarnya mengembalikan semula cuti hujung minggu asal (Jumaat-Sabtu) yang telah dilaksanakan Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula tahun 1994 apabila ia ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Besar.