Seorang warga emas dijumpai maut dengan enam kesan tikaman di Jalan Hospital, Kampar pada petang Rabu.

Mangsa ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di bahu jalan raya berhampiran sebuah rumah flat.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata siasatan awal mendapati mangsa Loo Chee Mun, 61 tahun, berkemungkinan ditikam oleh seorang suspek di kawasan tangga flat rumahnya.

Mangsa dipercayai cuba menyelamatkan diri sebelum rebah dan meninggal dunia.


Katanya lagi, suspek dipercayai berhutang dengan mangsa dan berlaku pertengkaran di antara kedua-dua pihak.

“Mangsa ditemui dengan tikaman di rusuk sebelah kiri, dada dan leher. Tikaman dipercayai dengan mengunakan objek tajam.

"Kita masih mencari senjata yang digunakan dalam kes pembunuhan ini. Kita juga sedang mengesan suspek, dipercayai seorang lelaki Cina,” kata Ng.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.