MANJUNG:Seorang lelaki warga emas maut apabila secara tiba-tiba dihempap sebatang pokok kelapa sawit yang tumbang ketika menunggang motosikal berdekatan Lorong Wawasan 2, Kampung Bakar Ayer Tawar, di sini pada Rabu.

Difahamkan mangsa yang dikenali sebagai Mohd Saleh Mat Ali, 69, cedera parah di bahagian pinggang akibat tersepit di antara pokok sawit sebesar pemeluk dan motosikal yang ditunggangnya.

"Pihak kami menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.25 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar bergegas ke lokasi.

"Apabila anggota bomba sampai di tempat kejadian mendapati sebatang pokok kelapa sawit yang agak reput telah tumbang menghempap mangsa ketika menunggang motosikal.

"Mangsa kemudiannya disahkan maut oleh pegawai perubatan yang ada di lokasi berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujarnya lagi, anggota bertindak memotong pokok tersebut kepada bahagian yang kecil dan memindahkan ke tempat selamat.

Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi tamat pada pukul 8.41 pagi.