SEREMBAN: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak dua minggu lepas ditemukan meninggal dunia dalam kawasan semak di Kampung Jumbang, Seri Menanti, Kuala Pilah dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Ghani berkata mayat Abu Zahrin A Hassan, 67, yang lengkap berpakaian itu ditemukan seorang pemilik dusun di kawasan berkenaan kira-kira pukul 2.30 petang.

"Setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dikaitkan dengan penemuan mayat itu. Pengecaman mayat telah dibuat oleh adik, anak dan saudara mangsa petang tadi dan disahkan warga emas terbabit," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Pada 22 Nov lepas, warga emas berkenaan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Sikai, Gunung Pasir, Seri Menanti dekat sini sebelum adiknya Norliza A Hassan, 53, yang tinggal berdekatan membuat laporan polis keesokan harinya.

Sementara itu, Norliza berkata dia dan seluruh keluarganya reda dengan pemergian abangnya itu selain mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk orang kampung, anggota polis dan bomba yang membantu pencarian Abu Zahrin.

"Alhamdulillah, penantian saya terjawab walaupun ditemukan sudah meninggal dunia. Ketika ini mayat masih lagi berada di hospital untuk bedah siasat, Insya-Allah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sikai, esok," katanya.

-- BERNAMA