MUAR: Polis menahan seorang warga emas setelah menemukan dadah yang disyaki syabu dan heroin seberat lebih dua kilogram di kediamannya di Sungai Abong, di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata suspek lelaki yang mempunyai rekod kesalahan lampau itu, juga didapati positif dadah jenis 'mop'.

"Suspek ditahan berhampiran kawasan perumahan sebelum dibawa ke rumahnya, sebelum polis menemukan heroin seberat 1.05 kilogram dan syabu seberat 1.22 kilogram dengan nilai anggaran RM67,665," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Suspek ditahan reman hingga Isnin (20 Jan) untuk siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

-- BERNAMA