JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga emas kerugian RM584,000 selepas terperdaya dengan sindiket "phone scam" atau penipuan melalui panggilan telefon, awal bulan lepas.


Ringkasan AI
  • Seorang wanita berusia 70 tahun telah ditipu sindiket "phone scam" dan kerugian sebanyak RM584,000. Dia menerima panggilan daripada individu yang mengaku sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dan 'pegawai polis' yang mendakwa ada akaun bank dibuka atas namanya.
  • Mangsa telah diarahkan suspek untuk memberikan butiran semua akaun yang dimilikinya untuk tujuan 'siasatan'. Dia kemudian diarah untuk memindahkan wang dari beberapa akaun simpanannya ke akaun bank yang diserahkan itu, berjumlah hampir RM600,000.
  • Mangsa telah membuat laporan polis setelah mendapati wang yang diserahkan telah berkurangan sebanyak RM584,000 dan berlaku transaksi pengeluaran wang melalui ATM selain pindahan wang atas penama yang tidak dikenali. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata wanita berusia 70 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu memperkenalkan diri sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menyatakan kononnya dia mempunyai rekod jenayah penipuan.

Beliau berkata wanita itu kemudiannya telah dihubungi seorang individu mendakwa 'pegawai polis' dari utara tanah air memaklumkan kononnya terdapat satu akaun bank dibuka atas namanya di negeri itu, namun wanita itu menafikannya.

"Bagaimanapun, suspek telah meyakinkan mangsa (wanita) untuk memberikan butiran semua akaun yang dimiliki bagi tujuan siasatan, kemudian mangsa mengikut arahan suspek dengan meletakkan kad mesin juruwang automatik (ATM) satu akaun bank miliknya di lokasi yang diarahkan serta nombor pin.

"Mangsa seterusnya diarah memindahkan wang daripada beberapa akaun simpanannya yang lain ke akaun bank (kad ATM) yang diserahkan itu berjumlah hampir RM600,000 untuk 'siasatan'," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata wanita berkenaan telah membuat semakan dengan pihak bank baru-baru ini dan mendapati wang yang diserahkan telah berkurangan sebanyak RM584,000, serta didapati berlaku transaksi pengeluaran wang melalui ATM selain pindahan wang atas penama yang tidak dikenali.

"Mangsa mengesyaki ditipu dan membuat laporan polis pada Isnin lepas. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau sehubungan itu mengingatkan masyarakat bahawa NSRC adalah pusat yang hanya menerima panggilan daripada orang ramai dan berbentuk komunikasi sehala sahaja.

"Bagi mengoptimumkan usaha pembanterasan serta pencegahan jenayah penipuan dalam talian, segera hubungi NSRC menerusi talian 997 agar peluang membuat sekatan terhadap wang telah dipindahkan lebih tinggi.

"Dapatkan juga maklumat terkini berkaitan modus operandi jenayah komersial melalui Facebook, Instagram dan TikTok Jabatan Siasatan Jenayah Komersial," katanya.

-- BERNAMA