SEBERANG PERAI:Seorang wanita warga emas tergamak memukul dua ekor kucing dengan sebatang besi sehingga salah seekor daripada kucing yang sedang bunting mati.

Suspek bagaimanapun telah ditahan polis untuk membantu siasatan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.20 petang semalam (Selasa) di kawasan perumahan di Jalan Pintas Kaloi, Seberang Jaya.

Dalam kejadian itu, seekor lagi kucing mengalami kecederaan di bahagian mulut.

Seorang saksi memberitahu, sewaktu kejadian, dia bersama seorang lagi rakan sedang memberi makan kepada beberapa ekor kucing terbiar di kawasan tersebut.

Namun, secara tiba-tiba seorang wanita yang turut tinggal di kawasan itu dilihat mengambil sebatang besi dari dalam kenderaannya sebelum bertindak memukul dua ekor kucing yang sedang makan.


Warga emas tergamak bunuh kucing bunting

Menurutnya,  akibat perbuatan tidak bertanggungjawab wanita terbabit, kucing yang sedang sarat bunting itu mati ditempat kejadian manakala seekor lagi mengalami kecederaan teruk pada mulut.

Berikutan kejadian itu, dia bersama rakan telah membuat laporan polis termasuk melaporkan kejadian tersebut kepada Jabatan Veterinar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad yang mengesahkan menerima laporan itu berkata, pengadu mendakwa  ada mendengar wanita terbabit merungut mengenai  kucing-kucing terbiar di situ yang membuang najis di hadapan rumahnya.

Akibat tidak berpuas hati, suspek telah bertindak memukul haiwan berkenaan sehingga mati.

Katanya, Jabatan Veterinar yang menerima maklumat berhubung kejadian segera ke lokasi  bagi mengambil kucing yang cedera  untuk dirawat di Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar di  Jalan Bukit Tengah, Bukit Mertajam.

Shafee berkata, suspek wanita yang berusia 51 tahun itu bekerja sebagai broker dan tiada rekod jenayah lampau.

Malah katanya suspek juga telah ditahan.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015.