Wanita Pertama Zambia, Esther Lungu melawat ke Pusat Permata Kurnia di sini hari ini, dan kagum melihat kemudahan yang disediakan dan berkata kemudahan itu boleh menjadi contoh bagaimana untuk membantu kanak-kanak autisme di negaranya.

Lungu berkata beliau menaruh harapan untuk menjalin kerjasama yang berpotensi dengan rakan-rakan di Malaysia untuk menubuhkan pusat autisme yang serupa di Zambia.

"Di Zambia, (kes) kanak-kanak menghidap autisme tidak didokumentasikan kerana kurangnya kajian dalam bidang itu atau pakar-pakar untuk mengenal pasti kanak-kanak tersebut," kata beliau.

"Justeru, lawatan saya ke Pusat Permata Kurnia memberi inspirasi untuk mewujudkan kemudahan yang sama di negara kami. Ia tidak semestinya mahal tetapi harus cukup efisien," kata beliau pada taklimat semasa lawatan itu.

Beliau turut kagum dengan usaha yang dijalankan oleh Pusat tersebut dalam menyediakan latihan dan perundingan kepada ibu bapa sambil berkata kaedah yang samar harus diterapkan di negaranya.

Penubuhan Pusat Permata Kurnia ialah hasil cetusan idea penaung Permata, Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pusat itu memulakan operasi pada November tahun lepas sebagai projekperintis dengan menawarkan program pendidikan pra-sekolah untuk kanak-kanak autisme berumur empat hingga tujuh tahun.

Lungu, isteri Presiden Edgar Lungu, meluangkan masa kira-kira sejam di pusat itu sambil bergaul dengan kanak-kanak di sana.

Beliau berada di sini kerana menghadiri Persidangan Antarabangsa Permata 2016 selama tiga hari yang bermula hari ini.