ALOR SETAR: Seorang wanita warga emas kerugian RM6,000 apabila rantai rmas miliknya lesap selepas dipukau seorang lelaki ketika menerima rawatan di sebuah Klinik Kesihatan di daerah ini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, mangsa berusia 60 tahun yang datang ke klinik berkenaan bertujuan mengambil ubat telah didatangi oleh seorang lelaki tidak dikenali yang kemudiannya menawarkan rawatan tradisional kepada mangsa kira-kira jam 8 pagi.

“Sebelum itu suspek dikatakan menegur rantai leher emas mangsa kelihatan dipakai longgar dan kemudian bertindak memegang rantai mangsa untuk mengetatkannya.

“Mangsa menyatakan telah menolak tawaran tersebut, tetapi suspek tetap mendekati mangsa sebelum beredar beberapa minit selepas itu.

“Setelah mangsa selesai berurusan di klinik tersebut, mangsa mendapati rantai leher emas yang dipakai telah tiada dan mensyaki rantai miliknya dibawa lari oleh suspek,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.

Siti Nor Salawati berkata, kemudian mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kota Setar pada jam 12.20 tengah hari setelah mendakwa dirinya diperdaya oleh seorang individu tidak dikenali semasa berada di sebuah klinik kesihatan di daerah Kota Setar.

Katanya, akibat daripada kejadian ini, mangsa mengalami kerugian RM6,000.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis sedang giat mengesan suspek iaitu seorang lelaki berbangsa Cina, berketinggian anggaran 5 kaki dan berusia sekitar 60an.

“Sehubungan itu polis meminta kerjasama orang ramai sekiranya mempunyai maklumat berkenaan suspek, untuk tampil memberi maklumat kepada pihak polis dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di talian 047747222 atau mana mana balai polis berhampiran,” katanya.