Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Datuk Munirah Abdullah Bajanuddin menyarankan golongan wanita supaya sentiasa membuka minda dan merebut peluang menggembleng tenaga bersama kaum lelaki.

Ia bagi menepati agenda pembangunan negara dalam pelbagai bidang.

"Seiring dengan tema sambutan Hari Wanita Sedunia tahun ini - Kesaksamaan Wanita, Kemajuan Semua, wanita diharap lebih proaktif memajukan diri demi kejayaan yang cemerlang", katanya ketika ditemubual Astro AWANI di pejabatnya disini.

Jelasnya, aspek kesamarataan yang diberi mampu membawa kesejahteraan kepada semua.

"Peranan wanita sebagai ibu dalam keluarga itu tidak dapat dinafikan,"

"Ibu yang menjadi tunjangnya sama ada pandai berbelanja, menyediakan makanan, aspek spritual, menjaga anak dan semuanya berpunca dari ibu,"

"Sebab itu kita harap melalui langkah kita menengahkan ibu, kaum wanita ini, Insya'Allah bonding kekeluargaan kita lebih kukuh," ujarnya sempenan Sambutan Hari Wanita Sedunia yang disambut setiap tahun pada 8 Mac.

Menurut Munirah, pelbagai platform disediakan kerajaan dalam usaha memperkasa ekonomi wanita.

"Kita berharap supaya wanita di luar sana khusunya kepala rumah tangga, mereka tidak bergantung kepada bantuan JKM, JAIS atau institusi lain,maknanya mereka perlu berusaha menjana punca pendapatan sendiri kerana peluang yang diberikan pelbagai," ujarnya mengenai bantuan yang diberikan kepada golongan hawa dalam usaha membantu ibu tunggal.

"Tepuk dada, tanya selera sama ada kita rajin atau tidak. Pelbagai dana telah disediakan kerajaan, " tambahnya lagi.

Sambil menyifatkan tema sambutan tahun ini sebagai pengiktirafan dan mengangkat martabat kaum wanita, golongan sasar ini diharap akan terus diberi peluang sama rata dalam bidang ekonomi, sosial, keselamatan serta politik, selain dilindungi dari sebarang keganasan dan diskriminasi.

Tambahnya, majlis pelancaran Hari Wanita Sedunia akan dilancarkan pada 7 Mac ini di Putrajaya.

Sementara, sambutan besar-besaran akan berlangsung pada 29 Mac di Dataran Merdeka.

"Selamat menyambut Hari Wanita Antarabangsa 2014 dan harap wanita akan lebih ketengah untuk mencapai matlamat yang dihasratkan oleh kerajaan," ucapnya mengakhiri perbualan.