Perkara ini dikongsi oleh pengendali paramotor tersebut Anuar Ngah, 46, dari Kuala Terengganu.
Kata beliau, Ustaz Azhar Idrus berminat untuk merasai terbang di udara dan merakam pemandangan yang begitu cantik.
“Pada tahun lalu, beliau ingin mencuba tetapi beliau memang gayat. Beliau tidak berani dan takut dengan ketinggian. Dia pun jarang menaiki kapal terbang.
Ustaz Azhar Idrus setuju untuk menaiki paramotor kerana ingin menikmati pemandangan yang indah dan merakam gambar yang cantik. - Gambar: YouTube/Anuar Ngah
“Namun setelah saya bercakap ia selamat semua, beliau ingin mencuba. Jadi kami terbang pada 5 Jun lalu selama 30 minit. Pada mulanya beliau nampak takut, lepas itu beliau okay,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Beliau juga berkata Ustaz Azhar Idrus ingin mencuba paramotor ini sekali lagi pada minggu depan.
Minat yang mendalam dalam penerbangan dan juga fotografi, menarik minat Anuar untuk menceburi aktiviti ini sebagai hobi.
Ini kerana aktiviti berkenaan membolehkan beliau terbang ke udara, sambil merakam pemandangan dari atas menggunakan GoPro.
“Kepuasannya lain dan paramotor ini membolehkan kita merakam gambar dan video dari pelbagai sudut berbanding helikopter mahupun dron.
“Malah kualiti gambar daripada dron tidak sama dan kita pun tidak boleh merasai pengalaman itu kerana ia dikawal dengan ‘remote control’,” katanya.
Beliau yang mempunyai pekerjaan tetap dalam industri insurans kini mempunyai perniagaan sendiri untuk membawa orang ramai menaiki paramotor.
“Pakej saya adalah RM150 untuk 20 minit. Saya juga akan hasilkan video sekali.
“Untuk orang di kampung ini, RM150 agak mahal tetapi saya terkejut mempunyai permintaan yang banyak," katanya.
Berikut adalah antara video yang dimuat naik oleh Anuar di laman YouTube beliau.