KUALA LUMPUR : Peralihan negara menjadi negara berpendapatan tinggi terhalang oleh kenyataan bahawa Malaysia tidak membelanjakan cukup untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), kata Ketua Ekonomi Pusat Penyelidikan Pasaran Buruh Masa Hadapan Perkeso, Prof Madya Mohd Yusof Saari.

Menurutnya, R&D tempatan juga hanya banyak tertumpu kepada menghasilkan pengetahuan saintifik tetapi kurang menerapkan pengetahuan itu lalu mengakibatkan pengkormesialan yang rendah. 

Tambah Mohd Yusof lagi, Malaysia sebenarnya masih belum terlewat dalam meningkatkan revolusi teknologi R&D ini, walau kebelakangan ini dana perbelanjaan yang diperuntukkan untuk R&D ini tidak sebanyak di negara Korea Selatan, Taiwan, Singapura.   
   
"Kita masih belum terlewat dan kita sebenarnya tidak mahu terus menerus sekadar menjadi pengimport  kepada teknologi orang lain. Seperti yang kita lihat kini, R&D di Malaysia masih longgar di banyak tempat yang menyebabkan kita tak mampu menjadi pengguna kepada teknologi kita sendiri.

"Jika kita mampu untuk mengubah keadaan ini, maka ia akan lebih baik bagi kerajaan Malaysia," ulas beliau dalam Niaga AWANI, pada Jumaat.


Niaga AWANI: R&D dan Tarik Pelabur | Di manakah jurang, adakah kajian akademik dikomersialkan?

Beliau turut menambah, seharusnya R&D dipertingkat bagi menampung teknologi dan kemahiran yang Malaysia miliki terutamanya bagi institusi pendidikan. 

"Perkara ini sebenarnya bukan perkara baharu. Seingat saya, isu mengenai mengkomersialkan R&D ini di universiti kita (Malaysia) agak terkebelakang jika dibandingkan dengan negara Korea Selatan.

"Ini kerana, apabila pihak universiti Korea Selatan membuat R&D, ian akan dikomersialkan bersama pihak industri. Ini tidak (berlaku) di Malaysia. Kita hanya banyak menghabiskan kertas sahaja walaupun adanya penyelidikan dan pembangunan terutamanya di universiti awam," jelasya lagi.

Mohd Yusof berkata, pendekatan sistem penilaian penyelidikan di universiti perlu menjadi lebih holistik dan menyokong pertumbuhan ekonomi.