KUALA LUMPUR: Polis Daerah Petaling Jaya sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung video tular di saluran Telegram Edisi Siasat yang mendakwa dua anggotanya telah menahan dan mengambil sogokan daripada dua lelaki warga asing.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Shahrulnizam Ja'afar berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya mengesan video berkenaan sekitar pukul 5 petang, hari ini.

"Paparan video berkenaan mengaitkan dua anggota polis dari IPD Petaling Jaya telah dikatakan menahan dan mengambil sogokan daripada dua lelaki warganegara asing.

'Pihak IPD Petaling Jaya sedang menjalankan siasatan dalaman untuk  mengesahkan hal kejadian yang sebenar," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Shahrulnizam menegaskan pihaknya tidak akan melindungi mana-mana anggota yang terlibat dalam salah laku atau perbuatan jenayah.

Terdahulu, Telegram Edisi Siasat memuat naik rakaman video dan mendakwa dua pekerja warga asing ditahan sebelum anggota polis terbabit membawa mereka masuk ke kawasan parkir di sebuah bangunan berdekatan.