Pakar kimia Korea Utara, Ri Jong Chol berada di ibu pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya kira-kira enam jam bermula 9.30 pagi sebelum diusir pulang ke negara asalnya.

Astro AWANI berjaya memperolehi video amatur yang dirakam semasa Jong Chol berada di ibu pejabat Jabatan Imigresen tersebut.

Jong Chol yang disiasat susulan pembunuhan abang tiri pemimpin tertinggi pentadbiran Komunis Pyongyang, Kim Jong Nam itu dipercayai melalui proses dokumentasi pengusiran pulang.

Jong Chol, 47 tahun, sebelum itu yang dilengkapi dengan baju kalis peluru tiba di kawasan Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia kira-kira 9.15 pagi dari IPD Sepang dengan kawalan ketat polis.

Dia diiringi dua wakil Kedutaan Korea Utara termasuk Kaunselor kedutaan, Kim Yu-Song semasa berada dalam tahanan Imigresen.

BACA: LAPOR LANGSUNG PENGUSIRAN RI JONG CHOL

Yu-Song dilihat memasuki bangunan itu sekitar pukul 10.15 pagi dan keluar dua jam kemudian tanpa memberikan sebarang komen ketika diasak dengan soalan berhubung pengusiran Jong Chol oleh media tempatan dan antarabangsa.