LENGGONG: Program vaksinasi COVID-19 di Perak semakin kurang mendapat sambutan sejak kebelakangan ini dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) semakin lengang.

Jumlah harian yang mendapatkan suntikan vaksin ketika ini hanya sekitar 20,000, berbanding bilangan yang pernah dicatatkan lebih 30,000 sebelum ini.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, kekurangan itu mungkin disebabkan anggaran Jabatan Perangkaan mengenai bilangan penduduk negeri itu jauh lebih besar daripada jumlah sebenar.

"Ada sebahagian yang kita kesan, dia orang Perak tetapi dia ambil vaksin di Selangor, dia ambil vaksin di Kuala Lumpur, dia ambil vaksin di Penang, jadi bila kita panggil, tak ada.

"Dan kita membuat persiapan sewajarnya berasaskan kepada statistik awal oleh Jabatan Perangkaan yang mengatakan sekian ramai rakyat Perak yang perlu divaksin.

"Jadi, kita menyediakan PPV berasaskan kepada angka itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan ‘One-off’ Penjaja Majlis Daerah Lenggong di Dewan Serbaguna Kota Tampan di sini semalam. 

Menurut Saarani, kerajaan negeri akan membuat penilaian semula kerana ia sedikit sebanyak mengganggu petugas perubatan di PPV yang mempunyai tugas hakiki di hospital atau klinik.

Sehubungan itu, kerajaan negeri akan memberi tempoh sehingga 31 Oktober untuk orang ramai mendapatkan vaksin sebelum PPV ditutup.

Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menunggu saat-saat akhir sebelum tarikh itu untuk mendapatkan suntikan vaksin mereka.