KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang dalam proses akhir untuk melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kepada golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun Rabu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ianya sejajar dengan pengumuman Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin untuk melaksanakan program imunisasi tersebut bermula di Sarawak.

“JPBNS sedang melakukan persiapan untuk melaksanakan program ini dan ianya berdasarkan pencapaian imuniti kelompok di Sarawak yang telah mencapai ketetapan 80 peratus golongan dewasa telah menerima vaksin.

“Jika semua persiapan sudah selesai, pengumuman secara terperinci berkaitan pelaksaan PICK untuk golongan ini akan dibuat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak sekali lagi merayu kepada sebilangan kecil rakyat Sarawak yang masih enggan atau ragu-ragu untuk mengambil vaksin berbuat demikian secepat mungkin.

“Sarawak masih membuka 62 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) termasuk PPV Awam dan Klinik Kesihatan (KK) di seluruh negeri. Mereka yang telah mendapatkan vaksin pertama boleh datang ke mana-mana PPV berkenaan selang 21 hari untuk mendapatkan dos kedua.

“Perlu diingatkan hari terakhir untuk mendapatkan dos pertama vaksin adalah pada 6 November ini. Oleh itu sesiapa sahaja boleh datang ke PPV berhampiran mereka atau KK tanpa perlu membuat temu janji,” katanya.

Jelas Uggah, mereka yang belum menerima suntikan vaksin akan membahayakan kesihatan mereka dan orang sekeliling dengan peningkatan kes COVID-19 dan kewujudan varian Delta yang mudah berjangkit dan lebih merbahaya.

Untuk makluman setakat hari ini seramai 3,716,143 dos vaksin telah didaftarjan kepada individu yang layak di seluruh negeri.

“Jumlah ini termasuk 1,883,698 atau 91.2 peratus untuk dos pertama dan 1,832,445 bersamaan 88.7 peratus untuk dos kedua,” tambah Uggah.