JUMLAH vaksinasi harian dalam negara terus mencatatkan perkembangan memberangsangkan dengan menghampiri sasaran vaksinasi harian yang ditetapkan kerajaan iaitu 300,000 pada bulan Ogos.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), pada 24 Jun, sejumlah 268,604 suntikan vaksin direkodkan.

Ia membabitkan 175,201 dos pertama manakala selebihnya 93,403 dos kedua.


Menurut JKJAV, jumlah vaksinasi harian itu menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin seluruh negara setakat ini adalah 6.823 juta dos.

Jumlah kumulatif penerima vaksin dos pertama 4.924 juta (15.1 peratus) manakala mereka yang sudah lengkap dos kedua adalah 1.805 juta (5.8 peratus).

Negeri Sarawak kini mendominasi penerima vaksin tertinggi dengan 1.026 juta dos diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan lebih 1.021 juta dos

Negeri lain yang mencatat jumlah tertinggi termasuk Selangor dengan lebih 1.015 juta dos serta Johor dengan lebih 614,000 dos.