SEMPORNA: Program Vaksinasi COVID-19 di Sabah adalah untuk semua golongan termasuk yang tidak mempunyai kewarganegaraan (stateless people).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata vaksin adalah untuk semua dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak akan menolak sesiapapun kerana apa yang menjadi keutamaan adalah kesihatan dan keselamatan awam.

“Kita tidak akan selamat sehingga semua pihak selamat, bemaksud semua kena dapatkan vaksin lengkap termasuk mereka yang hanya menggunakan dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri atau ketua kampung.

‘’Walaupun tidak memiliki kad pengenalan (MyKad) namun mereka semua tetap perlu di vaksin,” ujarnya.

Menurutnya, kerenah birokrasi terutama melibatkan asal usul dan bagaimana mereka boleh berada di negeri itu juga tidak perlu menjadi persoalan kerana apa yang penting, semua pihak perlu divaksin.

“Saya sendiri tanya mereka yang hadir program vaksin hari ini, ada yang mempunyai hanya surat pengesahan diri oleh ketua kampung, oleh itu saya sudah bincang dengan pihak KKM agar mereka ini dibenarkan hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tanpa perlu banyak soal,” katanya.

BACA: KKM sasar 80 peratus populasi dewasa di Sabah lengkap divaksin hujung Oktober

Khairy juga memberitahu bahawa dos vaksin tunggal CanSino sememangnya disasarkan kepada golongan bukan warganegara di negeri itu bagi memudahkan golongan itu supaya tiada keperluan untuk mereka mendapatkan suntikan dos kedua seperti vaksin yang lain. 

Terdahulu menerusi Twitter, Khairy berkata, sebanyak 1,000 dos vaksin CanSino telah diagihkan kepada masyarakat setempat termasuk mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di Pulau Larapan, Semporna pada Selasa.


Khairy yang kini berada di Sabah diiringi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham, turut terlibat dalam program 'outreach' Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Semporna akan menerima sebanyak 16,000 dos vaksin CanSino pada fasa pertama.


Vaksin Cansino | Penduduk tanpa dokumen juga diberi suntikan - KJ

Sebanyak 200,000 dos vaksin CanSino berbentuk 'finish product' (produk akhir) diterima daripada pembekal CanSino Biologics Inc pada 20 Ogos lalu.

Ia adalah sebahagian daripada 3.5 juta dos vaksin CanSino yang telah ditempah oleh Malaysia dengan penghantaran dibuat secara berperingkat.