INDUSTRI Rel merupakan industri pengangkutan awam darat yang sedang berkembang pesat di Malaysia.

Pelaburan yang berterusan oleh kerajaan untuk industri rel bermakna industri ini perlu bersedia untuk melakukan perubahan yang dinamik bagi menghadapi cabaran pada masa hadapan dari segi keselamatan, pembangunan, pengoperasian dan penyelenggaraan.

Pelbagai kerjasama dari pelbagai industri dan universiti menjadikan ICOE-Rel UTHM peranan yang sangat penting di dalam pembangunan kejuruteraan rel - Foto UTHM

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sedang menerajui jalinan kerjasama industri rel bersama beberapa industri rel dan institusi pendidikan tinggi (IPT) lain dalam merealisasikan pelan transformasi pengangkutan awam darat.

Melalui kerjasama ini, UTHM berhasrat menjadi universiti teknikal yang berupaya mengalu-alukan penyertaan dan pembabitan penyelidik, pelajar bersama industri rel untuk membuka pusat penyelidikan dan operasi rel di kampus Pagoh, UTHM.

Sehingga kini UTHM telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan beberapa industri dan institusi termasuklah MyHSR Corporation Sdn Bhd, Sapura Group of Companies, Sheffield Hallam University, University of Birmingham, Beijing Jiaotong University, TRC Synergy Berhad, Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communication Construction Company (M) Sdn Bhd (CCC).

Tenaga Pengajar & pelajar Sarjana UTHM sentiasa menjalani latihan komprehensif untuk meningkatkan kepakaran dalam bidang kejuruteraan rel - Foto UTHM

Pusat Kecemerlangan Industri-Rel (ICoE-Rel) UTHM

Pusat Kecemerlangan Industri-Rel (ICoE-Rel) yang ditubuhkan di bawah seliaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah diberikan kepercayaan penuh oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk membantu transformasi pengangkutan keretapi.

Pemilihan UTHM oleh KPM untuk menjadi universiti peneraju rel melalui ICoE-Rel adalah tepat kerana universiti ini mempunyai kepakaran dan pengalaman menjalankan Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Pengangkutan Rel sejak tahun 2012.

Malah, penawaran program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Rel dengan Kepujian membuktikan UTHM mampu menggalas tanggungjawab berkenaan.

ICoE-Rel adalah pusat latihan dan penyelidikan keretapi yang bertanggungjawab untuk pengumpulan, analisis, penilaian dan pengurusan data serta penyebaran penemuan penyelidikan dalam bidang rel untuk penggunaan agensi kerajaan dan bukan kerajaan di Malaysia.

Di samping itu, ICoE-Rel juga berfungsi sebagai platform utama untuk menubuhkan penyelidikan dan kolaborasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Latihan berterusan dan latihan selepas tamat pengajian sangat penting untuk graduan kejuruteraan.

Penglibatan universiti-industri berfungsi sebagai kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua belah pihak.

Universiti dan industri bergantung kepada satu sama lain kerana peranan universiti adalah untuk menghasilkan tenaga kerja untuk bekerja di industri dan industri di sisi lain memerlukan tenaga kerja untuk menjalankan operasi mereka.

Tenaga Pengajar & pelajar Sarjana UTHM sentiasa menjalani latihan komprehensif untuk meningkatkan kepakaran dalam bidang kejuruteraan rel - Foto UTHM
Kedua-dua universiti dan industri yang terlibat dalam penglibatan universiti-industri, dapat memperoleh faedah, sama ada dalam jangka pendek atau jangka masa panjang.

Dari segi faedah sosial, masyarakat beroleh manfaat dari hubungan penyelidikan universiti-industri melalui penghasilan produk inovatif dan teknologi.

Adalah menjadi harapan penyelidikan universiti yang melalui kerjasama industri berkembang menjadi aplikasi praktikal yang memberi manfaat kepada masyarakat.


* Dr Mohd Fahmy Abdullah Penyelidik Utama, Pusat Kecemerlangan Industri Rel (ICOE-REL), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.