SHAH ALAM: Tokoh veteran dakwah tanah air, Datin Aminah Zakaria menyifatkan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempunyai karisma dan kebijaksanaan untuk memegang jawatan penting negara.

Aminah atau lebih mesra dikenali sebagai Ustazah Aminah, 77, berkata, perkenalannya dengan Anwar, 75, bermula sejak tahun 70-an ketika Mesyuarakat Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di Kelantan semasa tokoh politik tersebut memegang jawatan setiausaha persatuan berkenaan.

Balu kepada bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Allahyarham Datuk Md Hashim Yahya itu berkata, sejak daripada perkenalannya dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, beliau sentiasa mengikuti perkembangan dan perjalanan Anwar.

"Saya dapat rasai sejauh mana keikhlasan, kebijaksanaan dan karisma yang ada dalam dirinya. Saya fikir dia ini mesti satu hari nanti akan menjadi seorang pemimpin besar," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya, di sini.

Beliau berkata, setiap kali bertemu Anwar di mana-mana majlis, pemimpin itu pasti akan berjumpanya bagi meminta nasihat dan pandangan.

"Saya juga akan menasihati Anwar melalui panggilan atau 'WhatsApp' sekiranya mendengar atau menonton (video) beliau menggunakan perkataan yang tidak sesuai ketika berceramah atau lain-lain," katanya.

Menurut Aminah, sifat kepimpinan Anwar terserlah sejak di bangku sekolah lagi apabila beliau mengetahui cerita ketika zaman Perdana Menteri itu belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak.

Selain itu, beliau juga mengenali Anwar sebagai seorang yang cintakan ilmu dan suka membaca pelbagai jenis buku termasuk berkaitan politik, agama, masyarakat dan ekonomi sehinggalah beliau dinobatkan sebagai Menteri Kewangan Terbaik Asia pada 1996.

Dalam pada itu, Aminah turut berpesan kepada Anwar supaya menjalankan tugas dengan amanah, dedikasi dan penuh perhatian kepada setiap orang yang berada di bawah pimpinannya.

"Saya pesan ke mana sahaja mahu pergi bawalah Allah bersama, sentiasa ingatlah Allah dalam apa sahaja keadaan dan Allah akan membantu. Jangan takut selagi tidak lupa pada Allah.

"Untuk adinda Anwar, kekanda ucapkan selamat menjalankan tugas yang telah dianugerahkan oleh Allah, yang telah dipilih oleh Allah untuk memimpin umat Malaysia khasnya bagi memimpin negara tercinta ini," katanya.
- BERNAMA