Beliau yang juga Timbalan Pengerusi 2, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pas Pusat, dilaporkan meninggal dunia di Madinah pada 12.30 tengah malam Selasa.
Berita sedih itu dikongsikan isteri Allahyarham, Mastura Ahmad menerusi muat naik di Facebook.
"Innalillah wa inna ilaihi rajiuuun. Suami saya Norazli B Musa meninggal malam tadi jam 12 lebih di Madinah AlMunawwarah.
"Mohon doa dari semua semoga ditempatkan bersama orang yang soleh," katanya.
Bagi Pengarah IREACH Malaysia, Johan Ariff Ismail, pengalaman beberapa kali terlibat dalam misi kemanusiaan di Aleppo, Syria bersama Norazli adalah saat yang paling tidak dapat dilupakan.
Katanya, Norazli sering memberi ingatan kepadanya agar sentiasa menjaga solat walau dalam apa jua keadaan.
Menceritakan detik ketika bersama-sama dalam Misi Rescue Syria pertama pada 2014, Johan menyifatkan arwah seorang yang amat tegas dalam hal menjaga solat.
"Dia pernah menasihati ketika di Aleppo, Syria untuk kerjakan solat walaupun dalam keadaan sukar mana sekalipun," kata Johan ketika dihubungi Astro AWANI.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi, Global Peace Mission Malaysia, Syahrir Azfar Saleh, pemergian Allahyarham Norazli merupakan kehilangan besar kepada warga sukarelawan.
"Secara peribadi, saya melihat, beliau mempunyai nilai perjuangan yang sangat besar. Sanggup mempertaruhkan nyawa walaupun dalam keadaan yang amat sukar," katanya kepada Astro AWANI.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM), Dr Sani Araby AlKahery, beliau menganggap Norazli sebagai individu yang sangat meraikan sahabat.
Bercerita mengenai peribadi Norazli, Sani amat mengaguminya kerana Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak itu bukan sahaja pandai bergurau ,tetapi tindakannya jua amat menginspirasikan.
"Ketika makan, dia akan utamakan sahabat-sahabatnya.
"Ustaz Norazli juga seorang yang sangat menjaga solat dan sentiasa menguruskan solat berjemaah ketika kami bermusafir bersama.
"Pernah satu ketika di tengah malam, saya terdengar suara orang teresak-esak perlahan dan suaranya sangat halus tanpa dibuat-buat.
"Ketika saya melihat keadaan itu, ia satu dakwah buat saya kerana Ustaz Norazli ini bukan sahaja seorang yang menjaga solat, tetapi bangun solat di waktu malam malah akan sentiasa meluangkan masa untuk membaca Al Quran di pagi hari," jelas Sani yang dihubungi Astro AWANI.
Pemergian Norazli Musa dianggap kehilangan besar kepada MAPIM kerana beliau merupakan antara penggerak awal dalam misi bantuan ke Syria sejak akhir 2013.