ALOR GAJAH: Sebanyak 182 usahawan kraf di Melaka disaran supaya mengambil peluang untuk mempromosikan dan memperbanyak produk keluaran beridentitikan negeri itu bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) Cawangan Melaka Nur Ithnani Ilyana Alias berkata sebagai contoh, motif bunga kesidang boleh digunakan pada sesuatu produk kraf dihasilkan mereka.

"Banyak motif lain yang menarik seperti tangga Melaka, roda kereta lembu, cucuk sanggul dan lain-lain yang boleh ditonjolkan untuk dijadikan sebagai cenderamata.

"Kita mahu jika pelancong melihat sesuatu produk mereka tahu itu ialah motif beridentitikan Melaka dan secara tidak langsung ia dapat mempromosikan hasil kraf mereka dan TMM 2024 kepada pelancong dari dalam dan luar negara," katanya kepada pemberita pada Program Jelajah Kraf Media di Durian Tunggal di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Nur Ithnani Ilyana berkata pihaknya menyasarkan 10 permohonan daripada usahawan kraf di Melaka untuk mendapatkan Standard Kraftangan Malaysia pada tahun depan.

Beliau berkata sehingga kini, terdapat empat usahawan di negeri itu yang berjaya mendapatkan pengiktirafan berkenaan sejak ia mula diperkenalkan tahun lepas melibatkan usahawan bidang tekstil, hasil logam dan hasil rimba.

"Objektif standard ini dibangunkan adalah untuk memartabatkan industri kraf tangan di Malaysia. Sebanyak tujuh penilaian ditetapkan iaitu produk, keupayaan teknikal, pengeluaran, amalan baik, pengurusan, kewangan dan prestasi perniagaan.

"Menerusi standard ini, penilaian produk berdasarkan kepada tiga perkara iaitu keaslian, kualiti dan pembuatan serta inovasi produk," katanya

-- BERNAMA