KUALA LUMPUR: Usaha Malaysia memupuk perpaduan dan kebersamaan rakyat berbilang kaum telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah Malaysia telah dipuji sebagai negara yang berjaya menyatupadukan masyarakat pelbagai budaya dan baginda percaya keterangkuman negara, seperti meraikan kepelbagaian, merupakan komponen penting kepada kemakmuran yang berterusan.

"Seperti yang telah beta titah sebelum ini dan beta ulangi, rakyat Malaysia daripada semua kaum, agama dan lokasi geografi, perlu, tanpa sedikit rasa ragu-ragu, percaya bahawa mereka mempunyai tempat di negara ini," titah Sultan Nazrin pada Persidangan Serantau Asia Tenggara Mengenai Kemuliaan Insan, di sini hari ini.

Sultan Perak bertitah ada kumpulan manusia yang dipandang rendah dan kurang diterima kerana kepercayaan atau warna kulit mereka, justeru perkara itu mesti ditangani dengan menyebarluaskan bahawa semua jiwa insan itu mempunyai nilai yang sama.

"Dalam berdepan kebencian, kita mesti menyebarkan mesej penerimaan. Dalam berdepan kejahilan, kita mesti menyebarkan pengetahuan. Dan dalam ketakutan, kita sebarkan kecintaan," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah di seluruh dunia hari ini, mereka yang mempunyai kepercayaan dan latar belakang berbeza dilucutkan kemuliaan kemanusiaannya, malah di beberapa negara, terdapat kumpulan agama yang ditindas oleh kerajaan, dihalau dari rumah mereka dan dipenjara.

Menurut baginda, di bahagian dunia yang kononnya inklusif, populasi minoriti sering dimalukan dan dihina secara melampau seperti menerusi contengan grafiti yang menyinggung perasaan pada dinding berhampiran rumah mereka atau dilempar kata-kata kejian dalam perjalanan ke tempat kerja kerana pakaian atau warna kulit mereka.

"Kita mesti berusaha untuk menghapuskan semua tindakan berunsur agresif dan permusuhan, daripada yang besar kepada sekecil-kecilnya, kerana semua itu, walaupun kecil, melambangkan serangan ke atas kemuliaan manusia.

"Semua pihak, tanpa mengira kepercayaan dan latar belakang, berhak untuk berasa selamat, dihormati dan diterima, bukan sahaja di rumah mereka tetapi juga di mana sahaja mereka pergi. Itu, pada beta, ialah apa yang dipegang oleh persidangan ini untuk semua orang, di semua tempat," titah Sultan Nazrin.

Sultan Perak bertitah meskipun kemuliaan insan diperakui dalam agama-agama dunia dan deklarasi antarabangsa, jelas, bahawa masyarakat dunia masih belum mencapai matlamat 'kemuliaan bagi setiap insan' di semua tempat.

Mengulas mengenai persidangan dua hari itu, Sultan Nazrin berkata persidangan itu berperanan mencari jalan bagaimana merealisasikan satu dunia yang semua orang dihormati dan mempunyai harga diri, tanpa mengira siapa mereka, asal usul dan destinasi mereka.

"Semoga anda menjalani dua hari yang produktif dan bermanfaat pada persidangan ini. Beta sangat yakin perbincangan di sini akan memberi impak kepada perjuangan kemuliaan untuk semua manusia di semua tempat," titah baginda.

Persidangan bertemakan 'Kemuliaan Untuk Semua, Di Semua Tempat' (Dignity for Everyone, Everywhere) dianjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Pusat Undang-Undang dan Pengajian Islam Antarabangsa Brigham Young University.

-- BERNAMA