SERDANG: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu meminta masyarakat agar tidak menggembar-gemburkan isu keselamatan nelayan di perairan Laut China Selatan.

Beliau berkata keadaan di kawasan itu masih selamat dan pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai insiden yang melibatkan nelayan.

"Setakat ini, saya belum terima laporan gangguan kepada nelayan... insya-Allah, penyelesaian pertelingkahan (membabitkan kawasan) ini kita akan selesaikan melalui saluran diplomatik," katanya kepada pemberita selepas meninjau Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di sini.

Mohamad mengulas mengenai kegusaran masyarakat berhubung isu keselamatan di Laut China Selatan susulan laporan pencerobohan oleh kapal Tentera Laut dan Pengawal Pantai China di perairan Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia sejak kebelakangan ini.

Pada 30 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agar nelayan dan pemancing di kawasan Laut China Selatan tidak berasa bimbang dengan kehadiran kapal terbabit khususnya di Beting Patinggi Ali.

Sementara itu, Mohamad berkata MAHA GO Global yang dirasmikan hari ini adalah platform bagi mengangkat sektor agromakanan negara ke peringkat antarabangsa dengan penglibatan dan penyertaan pelbagai negara.

"Melalui MAHA Go Global, petunjuk prestasi utama yang disasarkan adalah nilai potensi pelaburan dan memorandum persefahaman (MoU) berjumlah RM6 bilion serta janaan potensi perniagaan berjumlah RM167 juta," katanya.

Beliau berkata 12 MoU dimeterai hari ini bernilai RM500 juta membabitkan sektor pertanian dan perikanan.

Mohamad turut melancarkan logo baharu Malaysia's Best sebagai pengiktirafan serta penjenamaan nasional kepada simbol kualiti dan keselamatan makanan untuk keluaran pertanian negara yang diperakui berkualiti, selamat serta mencapai standard peringkat domestik dan antarabangsa.

Beliau berkata bermula Jun 2024, sebanyak 28 syarikat dan satu individu telah dianugerah penjenamaan Malaysia's Best bagi komoditi sayur serta buah melibatkan 50 ladang myGAP dan setara.

-- BERNAMA