KUALA LUMPUR: Cadangan program peralihan khas bagi pemegang lesen B1, B2 mendapatkan lesen B penuh, mendatangkan lebih banyak mudarat berbanding kelebihan.

Perkara itu disuarakan Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya UPM, Profesor Law Teik Hua, yang berpandangan, pengenalan program berkenaan akan meningkatkan pemilikan motosikal berkuasa tinggi.

Katanya, ini boleh menyumbang kepada peningkatan lebih 65 peratus kematian setiap tahun di jalan raya.

Baginya, kelulusan program berkenaan adalah bersifat populis dan tidak mengalakkan usaha negara yang ingin menuju kepada negara yang lebih hijau.

Ini kerana isu kesesakan jalan raya adalah serius dan negara seharusnya fokus kepada usaha mengalakkan penggunaan pengangkutan awam yang boleh mengurangkan pencemaran udara serta produktiviti negara.

"Motosikal tidak mendatangkan banyak kelebihan sebab isu bahaya (di jalan raya). Tambahan lagi dengan kapasiti kecil dan hanya mempunyai kelebihan mencelah ketika terperangkap di lalu lintas.

"Sepatutnya  kita mesti cari satu jalan mengurangkan pemilikan persendirian (private ownership) kenderaan seperti kerata dan bas dengan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Tambah Teik Hua lagi, bukan sahaja kadar kematian dan keselamatan perlu diperlihat, tetapi isunya adalah berkaitan keselamatan jalan raya yang seharusnya diberikan fokus untuk mengurangkan kadar maut.

Katanya, dengan penambahan lebih banyak motosikal berkuasa tinggi, ia jelas akan menambah beban sedia ada di jalan raya dan menganggu kitaran ekosistem yang lebih selamat untuk semua pengguna.

"Kalau kita nak tengok kesesakan lalu lintas, dengan adanya lebih banyak motosikal berkuasa tinggi, ia tidak akan membantu.

"Isu yang lebih besar ialah kita akan nampak masalah keselamatan, pengguna jalan raya kebanyakannya ada masalah untuk berinterkasi dengan motosikal berkuasa tinggi di atas jalan raya," tambahnya lagi.

Pandangan itu dkongsikannya dalam AWANI Pagi pada Selasa, atas respon kepada pengumuman Menteri Pengangkutan Anthony Loke tentang sebuah program khas peralihan kepada pemegang LMM kelas B1 dan B2 untuk beralih dan mendapatkan LMM kelas B bermula 1 Oktober ini.


AWANI Pagi: Adakah syarat lesen B1 & B2 naik taraf lesen B cukup?