Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, sebanyak 1,500 kenderaan diperiksa dalam sekatan jalan raya di Jalan Loke Yew, Jalan Kuching, dan Jalan Tun Razak.
"Kita mengeluarkan sebanyak 789 saman, manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 250 saman dalam operasi tersebut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Mohd Zamzuri berkata, seramai 75 anggota terdiri daripada 13 Pegawai Kanan Polis dan 62 Pegawai Rendah Polis dari JSPT Kuala Lumpur terlibat dalam operasi berkenaan.
"Dalam operasi tersebut, seramai lima individu berusia 15 hingga 25 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan," katanya.
Menurutnya, operasi itu menumpukan kepada penunggang motosikal agar lebih mematuhi peraturan jalan raya serta tidak melakukan aksi berbahaya.
"Kini, semakin ramai remaja keluar rumah dan melepak bersama rakan-rakan, serta menunjukkan minat terhadap aktiviti samseng jalanan," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Mohd Zamzuri berkata, sehingga hari kelima pelaksanaan Op Selamat 23 sempena Tahun Baharu Cina, statistik menunjukkan terdapat penurunan jumlah kemalangan berbanding Op Selamat 21 pada tahun lalu.
"Sebanyak 639 jumlah kemalangan dilaporkan berbanding Op Selamat 21 pada tahun lalu iaitu sebanyak 681 kemalangan," katanya.
Beliau berkata, JSPT Kuala Lumpur memberi tumpuan kepada penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.
"Langkah ini bertujuan mengurangkan risiko kemalangan dengan memastikan pemandu mematuhi peraturan lalu lintas, meningkatkan kesedaran serta disiplin dan menggalakkan sikap pemanduan berhemah," katanya. - Sinar Harian