IPOH: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama School of Oriental and African Studies (SOAS) University of London untuk mempromosi Bahasa Melayu di benua Eropah.

Ketua Setiausaha KPT Datuk Seri Abdul Razak Jaafar berkata jalinan kerjasama itu dimeterai sebagai usaha menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjadikan Malaysia sebagai pengantarabangsaan pusat pengajian pendidikan tinggi tanah air serta hab pembangunan bakat, sekali gus memperkembang bidang diaspora ilmu alam Melayu ke pentas dunia.

"MoU antara kedua-dua pihak memberi fokus terhadap pelaksanaan program pendidikan melalui penempatan latihan industri dan latihan mengajar pelajar antara kedua-dua institusi, perkhidmatan dan kerjasama dalam penyelidikan, serta pertukaran kepakaran antara kedua-dua institusi bagi tujuan pembangunan dan pengembangan ilmu dalam bidang bahasa lingua franca itu," katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, beliau menandatangani MoU itu di SOAS, University of London pada Selasa dalam majlis yang turut dihadiri Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff.

Abdul Razak berkata sebagai institusi pendidikan terulung yang berusia 100 tahun, UPSI sentiasa mencari ruang memartabatkan Bahasa Melayu sekali gus menjadikan pusat pengajian itu sebagai rujukan pendidikan di rantau berkenaan, terutamanya untuk kepentingan memartabatkan bahasa ibunda selaras dengan hasrat universiti memartabatkan kebitaraan pendidikan.

"UPSI yang terletak di Tanjung Malim mempunyai sejarah panjang sejak dari zaman pra kemerdekaan telah menjadi pusat perkembangan pejuang kemerdekaan dan ilmuan orang Melayu kalangan rakyat jelata.

"Menerusi semangat yang telah diinspirasi dari zaman Sultan Idris Training College (SITC) yang ditubuhkan 1922, kini UPSI menyimpan pelbagai khazanah untuk dikembangkan layarnya ke benua Eropah menerusi kajian dan penyelidikan di fakulti-fakulti, pusat bahasa mahupun Institut Peradaban Melayu yang telah bertapak di bumi Muallim," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Fadzli Adam yang turut hadir berkata kerjasama dapat dipergiat dan diperluaskan bukan sahaja terhad kepada projek pendigitalan manuskrip yang sedang diusahakan, namun turut membuka ruang kerjasama dalam bidang lain terutamanya projek pendigitalan manuskrip Islam dan Melayu yang berada dalam koleksi SOAS.

-- BERNAMA