Ringkasan AI
- Sebanyak 22,351 calon UPKK 2024 memperoleh A dalam kesemua sembilan mata pelajaran, menunjukkan peningkatan prestasi keseluruhan dengan Gred Purata Skor (GPS) 1.85.
- Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) menggunakan format instrumen baharu bagi tujuh mata pelajaran untuk memastikan pengukuran dan penilaian lebih autentik.
- Keputusan boleh disemak secara dalam talian dan slip keputusan penuh boleh diperoleh di sekolah masing-masing esok.
Mata pelajaran terbabit ialah Al-Quran, Akidah, Sirah, Adab, Jawi dan Khat, Bahasa Arab, Ibadah, Penghayatan Cara Hidup Islam serta Amali Solat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata pencapaian Gred Purata Skor (GPS) UPKK 2024 secara keseluruhan ialah 1.85 mata berbanding 1.89 mata pada tahun sebelumnya.
"Alhamdulillah, UPKK 2024 menunjukkan peningkatan daripada semua aspek. Daripada sudut mata pelajarannya dan nilai GPS.
"Ini termasuklah yang saya rasa bangga juga bila berkaitan dengan penurunan jumlah calon tidak hadir, lebih daripada 30 peratus (3,257 calon) berbanding dengan 4,721 calon pada tahun sebelumnya," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman keputusan UPKK 2024 di sini hari ini.
UPKK merupakan peperiksaan yang dilaksanakan kepada murid-murid tahun lima Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bagi mengukur tahap pencapaian mereka setelah mengikuti pembelajaran KAFA berdasarkan kurikulum ditetapkan.
Bermula UPKK 2024, Mohd Na'im berkata Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) telah mengguna pakai format instrumen baharu bagi tujuh mata pelajaran (Ujian Lisan dan Ujian Bertulis).
Beliau berkata pelaksanaan format baharu itu telah diberi penataran kepada semua Agensi Pelaksana Negeri, seluruh petugas pengurusan UPKK di peringkat negeri dan persekutuan, guru-guru, ibu bapa dan seterusnya calon yang menduduki UPKK pada 2024.
"Penggunaan Format Instrumen UPKK 2024 adalah selaras dengan kehendak penggunaan Kurikulum KAFA 2.0 yang telah diguna pakai bagi kohort pertama murid Tahun 1 pada 2020.
"Ia bertujuan memberi fokus kepada perkara asas Fardu Ain bagi setiap mata pelajaran supaya murid dapat menghayati pembelajaran sebenar dan mengukuhkan pegangan sebagai seorang muslim," katanya.
Mohd Na'im berkata Format Instrumen telah direka bentuk dan dibangunkan oleh Bahagian Pendidikan JAKIM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan UPKK menepati kaedah pengukuran dan penilaian lebih autentik di samping membentuk kemenjadian murid-murid yang mengikuti KAFA selama lima tahun persekolahan.
Beliau berkata sebanyak 236,986 daripada 240,244 calon yang mendaftar bagi menduduki UPPK 2024 telah hadir menduduki peperiksaan itu di 6,176 pusat peperiksaan.
Mohd Na'im berkata keputusan boleh disemak secara dalam talian di https://semakan.islam.gov.my/ dengan menggunakan nombor MyKid dan nombor angka giliran, bermula 10.30 pagi hari ini.
"Keputusan yang dipaparkan hanyalah berbentuk rumusan keputusan secara umum sahaja. Slip keputusan penuh boleh diperoleh di sekolah masing-masing esok, bermula 9.30 pagi," katanya.
Mohd Na'im dalam pada itu berkata peperiksaan hanya suatu mekanisme bagi pengukuran dan penilaian terhadap pembelajaran murid-murid yang telah mengikuti KAFA sepenuhnya sepanjang lima tahun.
"Bagi murid yang menerima keputusan sederhana dan rendah, masih banyak ruang dan masa boleh diperbaiki untuk mencapai kecemerlangan di masa hadapan.
"Pembelajaran KAFA tidak tertumpu kepada peperiksaan sahaja, namun pengamalan nilai-nilai islami yang tinggi dalam pembentukan jati diri dapat melahirkan murid-murid yang seimbang dari sudut intelektual dan sahsiah," katanya.
Mohd Na'im berkata beliau berharap keputusan peperiksaan UPKK tahun ini akan lebih baik dari tahun sebelumnya serta peningkatan jumlah calon hadir.
"Jumlah ketidakhadiran calon sangat penting sebab kalau ramai pelajar yang akan hadir, itu menggambarkan tentang keyakinan pelajar, guru dan ibu bapa terhadap UPKK itu sendiri," katanya.
-- BERNAMA
