Langkawi dan Kuala Perlis saling berkait rapat walaupun berada di dua negeri berbeza.

Sekiranya mahu ke Langkawi, Jeti Kuala Perlis menjadi pintu masuk popular dalam kalangan pelancong dari dalam mahupun luar negara.

Biasanya pengunjung meninggalkan kenderaan mereka berhari-hari sepanjang berada di Langkawi.

Jangan terperanjat sekiranya dalam perjalanan ke Jeti Kuala Perlis, anda akan disapa ketika berada di dalam kenderaan.

Satu fenomena biasa melihat kumpulan lelaki menunggang motosikal di jalan raya dan sekitar laluan masuk ke Jeti Kuala Perlis untuk membawa anda ke lokasi parkir.


Bagi Mohd Sharir Abd Rahman, sebagai agen, dia bersama rakan yang lain mencari pelanggan di jalan raya menuju ke Kuala Perlis bertujuan memudahkan pelancong, terutama yang pertama kali ke Langkawi.

“Kami dapatkan pelanggan dan bawa pelanggan sampai ke tapak parkir. Kami dapat upah separuh daripada caj kepada pelanggan,” katanya.


Menurut pengusaha parkir Azman Ani yang menjalankan perniagaan sejak 30 tahun lalu, setiap kenderaan dikenakan caj harian RM10 bagi tempat tidak berbumbung dan RM15 bagi yang berbumbung.

“Usaha memujuk bergantung kepada kemahiran masing-masing. Semakin banyak kenderaan yang dibawa masuk, semakin tinggi upah diterima,” katanya.

Bukan itu sahaja, agen juga bertanggungjawab atas setiap kenderaan yang dibawa masuk.

“Pelanggan berhak membuat laporan polis jika kenderaan mereka dipecah masuk atau kehilangan barang,” katanya.

Inilah cabaran bagi setiap agen.

“Apabila kawasan parkir penuh dan setiap malam, pintu masuk akan dikunci. Ada penjaga yang mengawal 24 jam,” katanya.

Setakat ini ada sembilan pengusaha menjalankan perniagaan parkir, tidak termasuk tanah milik persendirian dan hotel.

Boleh dikatakan jeti ini adalah nadi pembangunan Kuala Perlis, yang bergantung kepada kehadiran pelancong ke Langkawi.

Kepada pengusaha parkir - jaga maruah orang Kuala Perlis.