Seramai 4,025 pelajar baharu pelbagai jurusan telah mendaftar di Universiti Malaya bagi kemasukan untuk sesi 2019/2020 yang bermula hari ini.

Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Abdul Rahim Hashim berkata, sebahagian daripada angka itu turut merangkumi pendaftaran dari pelajar luar negara.

"Daripada jumlah pendaftaran itu kita terima seramai 281 pelajar dari luar negara dan kebanyakannya daripada China", katanya ketika sidang media pada Ahad.

Tidak ketinggalan, seramai 11 pelajar baharu daripada golongan orang kelainan upaya (OKU) turut mendaftar dan telah disediakan asrama dan kelengkapan khas bagi kemudahan pelajar khas berkenaan.

Bagi kelainan tahun ini, Universiti Malaya berusaha melakukan pembaharuan yang menumpukan pada sistem pendaftaran yang lebih sistematik dengan hanya mengambil masa dalam lingkungan dua hingga tiga minit bagi setiap pendaftaran pelajar.

Pendaftaran yang bermula pada 1 hingga 6 September itu merangkumi pelbagai aktiviti khusus buat pelajar baharu termasuk dengan program suai kenal.

Turut hadir pada hari pendaftaran baharu pelajar-pelajar universiti itu ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai Ahmad Fahmi Fadzil.