KUALA LUMPUR: 18 orang anak muda yang mewakili gerakan Undi18 bakal memfailkan semakan kehakiman terhadap Perdana Menteri, Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ia bagi menuntut dua deklarasi mahkamah iaitu tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan penurunan umur pengundi daripada 21 ke 18 adalah tidak rasional, tidak sah, tidak berpatutan dan merupakan pencabulan hak pengundi.

Aktivis, Nurul Rifayah berkata, mereka juga menuntut pengundi berumur 18 ke 20 tahun berhak mengundi menjelang Julai 2021.

"Para pemohon menuntut deklarasi daripada Mahkamah bahawa penangguhan oleh kerajaan dalam pelaksanaan RUU Undi18 adalah tidak rasional, melanggar proses dan semangat undang-undang, serta mencabul hak pengundi.

"Selain itu, para pemohon juga merayu kepada Mahkamah untuk mengarahkan kerajaan melaksanakan Seksyen 3(a) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 pada atau sebelum Julai 2021," katanya semasa sidang media gerakan Undi18 pada Jumaat.

BACA: Undi 18: Beri SPR masa, ada perkara perlu diselesaikan - Takiyuddin

BACA: 
Kerajaan khianati janji pendaftaran pemilih automatik, Undi 18 - Anwar Ibrahim

Undi18: 18 anak muda mahu fail semakan kehakiman

Sebelum ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh menjangkakan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 hanya boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022, sekali gus menyaksikan ia tidak sempat dilaksanakan pada Julai tahun ini sepertimana jangkaan awal.

Jelasnya, tempoh tersebut dibuat selepas menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR termasuk penularan wabak COVID-19.

Tegas beliau, SPR komited dengan pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 seperti yang telah diluluskan di Parlimen untuk direalisasikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 pada tahun 2023 berpandukan kepada Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu ujar Nurul , pelaksanaan RUU Undi18 adalah tidak rasional, melanggar proses dan semangat undang-undang, serta mencabul hak pengundi.

Katanya lagi, Undi18 juga akan melancarkan kempen mengutip dana bagi membiayai tindakan undang-undang berkenaan.