Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyarankan umat Islam di negara ini untuk berusaha mengukuhkan permuafakatan dan memantapkan jalinan ukhuwah.

Dalam titah Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1438 Hijrah, Tuanku Abdul Halim bertitah, usaha meningkatkan kemajuan ummah tidak akan berjaya jika umat Islam terus bertelagah dan berpecah.

"Ingatlah bahawa segala usaha meningkatkan kemajuan sosio-ekonomi ummah, memperkasakan urus tadbir hal ehwal Islam serta memartabatkan institusi perundangan dan kehakiman syariah tentunya tidak akan berjaya jika umat Islam terus bertelagah dan berpecah.

"Umat Islam seharusnya memiliki kebijaksanaan untuk mengurus perbezaan yang terjadi dengan cara yang baik," titah baginda.

Jelas baginda, semua pihak perlu memberi keutamaan kepada agenda penyatuan ummah dan menjauhi perbalahan sesama sendiri.

Justeru, baginda mahu semua pihak mengamalkan adab yang tinggi, sentiasa berlapang dada dan bertoleransi, hormat-menghormati serta mengasihi antara satu sama lain.