LONG LAMA: Kira-kira 800 penduduk Uma Akeh, Long Lama cukup gembira apabila kawasan perkampungan mereka kini mempunyai capaian jalur lebar.

Setelah puluhan tahun menunggu, projek perkhidmatan capaian jalur lebar melalui satelit yang disediakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di perkampungan kaumn kenyah itu sudah pasti beri seribu makna buat penduduk.

Pengerusi Kelab Belia Uma Akeh (KEBUMA), Spanski Steven berkata, dengan adanya perkhidmatan internet, para penduduk yang merupakan petani dapat memasarkan hasil pertanian mereka secara dalam talian kepada pelanggan luar.

“Kemudahan WiFi ini amat bermakna kepada penduduk kerana dengan adanya bekalan internet 24 jam, penduduk akan lebih aktif untuk mengangkat dan mempromosikan Uma Akeh kepada orang luar.

“Malah, Uma Akeh juga terkenal dengan keenakan durian dan hal ini adakan memudahkan pengusaha ladang durian untuk memasarkan produk mereka," katanya kepada Astro AWANI.

Penduduk Uma Akeh membuat panggilan video kepada sanak saudara.

Tambah Spanski, impak lain turut dirasai penduduk terutama dari segi perhubungan dan kaedah pembelajaran anak-anak yang terganggu ekoran tiada atau liputan internet lemah.

“Sebelum ini agak mencabar terutama dalam perhubungan harian bila kita mahu berhubung dengan sanak saudara yang berada di luar agak sukar.

"Ini kerana bila kita nak dapatkan internet atau membuat panggilan biasa kita terpaksa pergi ke hadapan rumah terutama di jeti dan pondok menunggu di hadapan rumah kampung untuk mendapatkan internet yang baik itupun kalau bernasib baik akan ada talian,” ujarnya.

Bagimanapun, penduduk di Uma Akeh masih berharap akan ada satu fasiliti telekomunikasi yang kekal dibina di kawasan tersebut kerana mereka difahamkan perkhidmatan internet yang dipasang itu hanya beroperasi secara percuma sehingga 2024.



Projek di bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA) itu mula dipasang di Uma Akeh awal Januari lalu dan boleh beroperasi seperti biasa menggunakan akses jalur lebar tanpa wayar (Wi-Fi).

Perjalanan ke Uma Akeh mengambil masa sehingga dua jam 30 minit daripada bandaraya Miri atau 15 minit daripada Long Lama melalui jalan darat dan boleh menggunakan pelbagai jenis kenderaan.