Malaysia menjadi antara negara yang menunjukkan peningkatan terbaik di dalam penarafan pengajian tinggi tahun ini berdasarkan laporan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2021.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata ia selepas lima universiti penyelidikan Malaysia berjaya berada dalam kelompok 200 universiti terbaik dunia dan satu peratus terbaik dunia.

Mengungguli carta tersebut ialah Universiti Malaya (UM) apabila universiti awam itu berada di tempat ke-59 dalam senarai universiti terbaik dunia berbanding di tempat ke-70 pada tahun 2019, sekali gus mengekalkan kedudukan universiti itu sebagai 100 universiti terbaik di dunia.

“UM telah berjaya disenaraikan dalam kedudukan 100 universiti terbaik sejak tahun 2018 iaitu tujuh tahun lebih awal daripada sasaran malah berjaya mengekalkan dan meningkatkan kedudukan setiap tahun sehingga ke kedudukan hari ini,” memetik kenyataan itu.

Kedudukan universiti tempatan di peringkat antarabangsa.

Selain UM, lima universiti awam yang lain iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya menunjukkan peningkatan yang membanggakan ke kedudukan 550 terbaik dunia.

Malah, kejayaan itu turut dikecapi tiga universiti swasta iaitu Taylor’s University, CSI University dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).

“UPM di kedudukan ke-132 (2020: 159), UKM di kedudukan ke-141 (2020: 160), USM di kedudukan ke-142 (2020: 165), diikuti oleh UTM di kedudukan ke-187 (2020: 217), dan Universiti Utara Malaysia (UUM) di kedudukan ke-531-540 (2020: 591-600).

“Bagi universiti swasta yang terlibat, Taylor’s University mendahului di kedudukan ke-379 (2020: 511-520), diikuti oleh UCSI University di kedudukan 391 (2020: 442) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) di kedudukan 439 (2020: 482),” memetik kenyataan itu.

Taylor's, universiti swasta terbaik di Malaysia

Menurut KPT, pada siri penarafan kali ini juga, 20 buah universiti tempatan telah tersenarai iaitu 12 buah universiti berjaya memperbaiki kedudukan berbanding tahun lepas, enam buah universiti mengekalkan kedudukan dan dua buah universiti jatuh dari kedudukan tahun lepas.

Selain daripada itu, 11 lagi institusi pendidikan tinggi tempatan awam dan swasta juga berjaya disenaraikan di dalam senarai ‘top 1000’ QS World University Rankings 2021, iaitu Management and Science University (MSU), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Sunway University, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Multimedia University (MMU), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Kejayaan ini merupakan kejayaan terbaik negara setakat ini dan membuktikan bahawa hala tuju pendidikan tinggi negara berada di atas landasan yang betul dalam menyediakan institusi pendidikan tinggi yang berkualiti dan cemerlang sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPMPT).

“Kejayaan ini secara tidak langsung akan terus menempatkan Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi di rantau ini. Di samping itu, ia juga dapat membantu institusi dalam menjalinkan kerjasama dengan penyelidik terkemuka dunia,” tambah kenyataan tersebut.

Kedudukan universiti tempatan di peringkat antarabangsa.