KUALA LUMPUR: Implikasi penggucapan kalimah murtad bukan sahaja memberi kesan kepada individu penutur malah memberi kesan besar kepada kepentingan umat Islam, agama dan negara.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyatakan, senario ini secara tidak langsung boleh menggangu gugat keharmonian beragama dalam masyarakat awam.

"Kesannya, segelintir masyarakat mula keliru dan membuat andaian tafsiran pengucapan dengan pelbagai tanggapan," memetik teks Khutbah Jumaat hari ini bertajuk Berhati-hati dengan Pengucapan Murtad yang diterbitkan Unit Khutbah, Bahagian Pengurusan Masjid, JAIS.

 
Sumber Facebook JabatanAgamaIslamSelangor

Menurut JAIS, perkara ini dianggap sensitif oleh umat Islam apabila diperkatakan secara terbuka dengan andaian yang tertentu lantaran ucapan murtad bukanlah kalimah yang boleh dijadikan mainan semata-mata diungkapkan dibibir dan mulut.

"Ia juga bukan ucapan kontroversi untuk meraih populariti dan simpati. Setiap ucapan yang mengundang keburukan sama ada terhadap diri sendiri atau orang lain akan dinilai sebagai suatu dosa.

"Pengucapan murtad memberi kesan besar kepada amalan kerana ia merosakkan iman apabila jelas dinyatakan tanpa paksaan dan mengandungi maksud kufur," tegas JAIS.

Sementara itu, JAIS turut menjelaskan, bergurau, kecewa atau mengajuk dan melafazkan ... "aku keluar Islam” merupakan ucapan-ucapan untuk memutuskan kepercayaan terhadap agama Islam yang benar dan tertinggi selain ia sangat ditegah dan dilaknat dalam Islam.

Mengulas lanjut, JAIS menegaskan pendekatan untuk mengekang penularan isu tersebut memerlukan kepada penghayatan dan pendidikan tarbiah Islamiah semenjak dari kecil.

"Oleh itu, ibu bapa disarankan agar melengkapkan diri anak-anak mereka dengan ilmu fardu ain yang mantap merangkumi pengajaran tentang usul aqidah, ibadat dan akhlak.

"Tunjukkanlah tauladan yang baik kepada anak-anak dengan mentaati perintah Allah SWT," memetik teks tersebut yang mengulas berkenaan isu pengucapan murtad yang menjadi isu hangat diperkatakan oleh masyarakat Islam di media sosial.

Malah, larangan menyebut ucapan kufur dan murtad jelas dilarang di dalam Islam.

Firman Allah dalam surah al-Taubah ayat 65 dan 66 yang bermaksud:

“Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNyaserta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?. Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.”