KUALA LUMPUR: Sekilas pandang, cendol yang dihidang lengkap dengan jagung, ais krim strawberi, santan dan gula Melaka itu tampak begitu menyelerakan.

Namun, jika diperhatikan dengan lebih teliti, sajian tempatan itu sebenarnya merupakan lilin wangi buatan tangan yang diukir dan dihias dengan penuh kreatif oleh pengusaha lilin wangi yang juga pengasas jenama Candlenuts Dr Nurul Nadia Rashid.

Menariknya, karya seni yang dihasilkan daripada sisa lilin seberat dua kilogram itu dikumpul dan diberi semula oleh pelanggan setianya dari Semenyih, Selangor dan berjaya disiapkan dalam tempoh dua hari.

"Lilin ukiran ini sebenarnya tidak dijual, tetapi dihasilkan khas sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan setia kami. Selain itu, inisiatif ini juga membantu kami mengurangkan sisa lilin yang tidak digunakan.

"Kadang-kadang, jika saya ada sisa lebihan, saya juga buatnya untuk dijadikan hadiah istimewa kepada pelanggan yang membeli lilin wangi kami yang bernilai RM150 ke atas semasa saya bersiaran langsung di TikTok," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Nurul Nadia, 35, berkata selain pencuci mulut itu, terdapat pelbagai bentuk lain yang pernah dihasilkannya antaranya ais krim, coklat, biskut, bunga, pelangi, pai dan kek.

Pemilik Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan Veterinar daripada Universiti Putra Malaysia ini berkata setiap produk itu dihasilkan mengikut kreativitinya sendiri dan dilakukan secara spontan ketika sedang bersiaran langsung menerusi TikToknya @candlenutsmalaysia.

"Apabila 'bekerja' dengan lilin, kita perlu bertindak dengan cepat kerana ia mudah mengeras. Lilin hanya boleh diukir pada masa yang tepat- tidak terlalu cair atau keras- bagi memastikan ia dapat dibentuk dalam keadaan baik dan hasilnya kemas.

"Saya tidak belajar membuat ukiran lilin ini secara formal tetapi merujuk di YouTube dan saya lebih suka menasihatkan pelanggan agar menghantar sisa lilin sekurang-kurangnya satu kilogram," katanya yang turut menawarkan perkhidmatan membuat buah tangan atau cenderahati.

Antara lilin wangi buatan tangan yang diukir dan dihias dengan penuh kreatif oleh Nurul Nadia. --fotoBERNAMA

Berkongsi pembabitannya dalam perniagaan lilin wangi, anak kelahiran Tapah, Perak ini berkata semuanya bermula dengan minat sebelum berubah menjadi hobi dan akhirnya menjadi punca pendapatan utama.

"Saya mula menjual lilin pada 2016 secara kecil-kecilan sebelum nekad berhenti kerja sebagai doktor veterinar pada 2019 bagi memberi fokus sepenuhnya kepada perniagaan ini.

"Sebagai doktor haiwan, saya sering terdedah kepada bau yang kurang menyenangkan di klinik, jadi apabila pulang ke rumah saya mahukan sesuatu bauan yang wangi dan menenangkan," katanya.

Tidak mahu hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam, perniagaan yang dimulakan dari rumah itu kemudiannya berkembang pesat sehingga beliau mampu menyewa empat lot kedai pada 2020.

Dua tahun kemudian, usaha gigihnya membuahkan hasil apabila berjaya menubuhkan kilang lilin wangi bumiputera pertama di Malaysia yang terletak di Batu Pahat, Johor.

“Impian saya adalah untuk membawa produk Candlenuts ke pasaran runcit di luar talian seperti Bath Body Works atau Jo Malone dalam tempoh 10 tahun akan datang," katanya. 

-- BERNAMA