Kementerian Pendidikan disaran mengubah silibus pendidikan sekolah bagi memastikan rakyat dapat mengimbangi aspek pemikiran dan komunikasi dalam berhadapan kesan letusan teknologi media sosial.

Pengerusi dan Pengasas Yayasan Budi Tan Sri Dr Rais Yatim berkata keperluan itu wajar memandangkan perkembangan teknologi telah mengubah masyarakat yang dahulunya berbudi pekerti menjadi kurang sopan dan tidak menghormati pada masa kini.

"Daripada pengamatan saya, jika rakyat di negara ini berjumlah 32 juta orang penduduk, tidak kurang 17 juta orang daripada mereka memiliki alat untuk memuat turun aplikasi media sosial Facebook atau WhatsApp.

"Ia sekali gus menyebabkan budaya masyarakat terutama orang Melayu yang dahulunya terimbang pemikiran dan komunikasinya kini menjadi lebih dahsyat daripada mereka di negara luar dalam soal interaksinya, sebagai contoh.

"Mereka sanggup bertutur bahasa kesat tanpa mengira siapa termasuk kepada raja dan perdana menteri... oleh itu perkara utama yang boleh dilakukan ialah merubah silibus pelajaran untuk memperbetulkannya kembali," katanya.

Rais berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui selepas menghadiri Majlis Syarahan Perdana 'Serlahan Budi' Sempena Sambutan Kemerdekaan Ke-62 di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gambang di sini, pada Khamis.

Tugas mengembalikan kesusilaan dan kesopanan itu juga menurut Rais tidak hanya terletak di bahu Kementerian Pendidikan, sebaliknya jabatan lain boleh memainkan peranan berinteraksi dengan masyarakat dalam usaha mengekalkan identiti nasional, budaya, bangsa dan agama negara ini.

"Dahulu tidak pernah berlaku situasi seperti sekarang, jika lebih pun hanya surat layang, namun bila bertemu muka (semuanya) masih kekal beradab. Oleh itu saya berharap mereka yang terlibat sensitif mengenai hal ini.

"Ibu bapa juga memainkan peranan dalam mendidik anak kerana kita tidak boleh menafikan telefon pintar kini sudah menjadi sumber menukar personaliti individu yang sangat bahaya," katanya.

-- BERNAMA