Laman media sosial Twitter bercadang untuk menambah had limitasi Twitter daripada 140 ke 10,000 karekter, berdasarkan laporan daripada portal berita. Susulan dengan berita tersebut, ramai pengguna Twitter telah menyatakan ketidakpuasan hati mereka, tidak kurang juga ada yang menyambut baik berita tersebut. Bagaimana dengan anda, adakah anda bersetuju dengan cadangan tersebut?

Langkah yang baik?

Mari kita kaji dari sudut positif mengapa langkah menambah had karekter ini adalah sesuatu yang baik. Dengan 10,000 karekter, anda kini boleh menyampaikan sesuatu dengan lebih terperinci, dengan tona yang lebih baik, tanpa ada sebarang salah faham akibat tak cukup perkataan. Langkah ini pasti disambut baik jenama besar bagi tujuan pemasaran.


Ini juga dapat menarik minat pengguna media sosial lain khususnya Facebook dan juga penulis puisi abstrak yang orang pura-pura faham untuk melebarkan sayap mereka di Twitter tanpa perlu membuat keputusan perkataan manakah yang harus dibuang jika limitasi 140 karekter dikekalkan.

Mengapa Twitter tak perlu menjadi Facebook

Di sini saya ingin menyatakan pendapat saya, Twitter tidak perlu berubah untuk menjadi seperti Facebook. Tempoh hari dah tukar butang ‘Favorite’ menjadi ‘Like’, sekarang mahu tambah had limitasi tweet. Saya syak selepas ini mereka akan kenalkan butang ‘Poke’ agar kita boleh bergurau manja dengan rakan-rakan kita di Twitter.


Setiap media sosial ada identiti dan fungsi mereka sendiri. Jika anda ingin muat naik gambar selfie berserta kapsyen panjang dan mendalam tentang kehidupan di alam fana ini, Instagram adalah medium yang sesuai. Mahu bercerita panjang tentang percutian ke Zoo Negara, boleh terus tulis karangan panjang di Blogger. Nak luahkan perasaan tak puas hati dengan Mak Ngah sendiri sebab asyik tanya bila nak kahwin, tulis saja status di Facebook dan tag Mak Ngah anda.


Keunikan Twitter adalah had limitasi karekter itu sendiri, di mana penggunanya harus bijak menyusun kata, sekaligus mengajar kita untuk menyampaikan apa yang betul-betul perlu. Kepuasan menggunakan Twitter adalah apabila anda berjaya memasukkan ‘punchline’ di dalam tweet anda walaupun perlu mengorbankan sepatah dua kata berserta kesalahan tatabahasa.



Kesan buruk?

Twitter adalah platform di mana penggunanya boleh mendapatkan maklumat dan bertukar-tukar fikiran dengan pantas. Kita tiada masa untuk baca gaya ‘bahasa rempit’ panjang-panjang seperti “Dkala aty nie mrnduimu, jwa aq brgetar glisah. brtny aq sndiri, "slm,,,,chatkah drimu,,,aq dcni mrinduimu,,, Aq adlah Aq!”.
Jika had limit karekter dibuang tanpa ada sebarang pengawasan tambahan, Twitter akan menjadi medium yang penuh dengan ‘troll’ dan ‘keyboard warrior’ kerana mereka diberi peluang untuk bersuara dengan lebih lantang. Perbincangan intelektual akan dimatikan dengan ayat ‘Mak kau kuda kepang!’ yang diulang sehingga cukup 10,000 karekter.


Apapun kita sebenarnya tidak harus cepat melatah mendengar berita ini. Masih belum ada sebarang kata putus berkenaan dengan bagaimana konsep ini akan diaplikasikan di Twitter. Mungkin had 140 karekter masih akan dikekalkan, dengan pilihan untuk membaca tweet selanjutnya tanpa mempengaruhi susur masa seseorang. Saya dah kira tadi, artikel ini tak sampai pun 10,000 karekter, boleh saja kalau nak baca semuanya di Twitter nanti.


Faizal Rosly adalah seorang pemerhati media sosial dan juga peminat tegar Liverpool FC. Tweet @ijaicool atau ikuti blog beliau.

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.