KUALA LUMPUR: Selepas enam tahun berlanjutan, balu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis, Puan Sri Kalsom Ismail bersama empat anak dan ibu mentuanya akhirnya bersetuju untuk menyelesaikan kemelut tuntutan harta sepencarian lebih RM2.1 bilion secara baik, di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Rabu.


Ringkasan AI
  • Balu Tan Sri Jamaludin Jarjis, Puan Sri Kalsom Ismail bersama empat anak dan ibu mentuanya bersetuju untuk menyelesaikan kemelut tuntutan harta sepencarian bernilai lebih RM2.1 bilion secara baik di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan selepas enam tahun.
  • Penyelesaian tersebut melibatkan 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat, dan Arab Saudi serta saham dalam beberapa syarikat tempatan. Terma-terma penyelesaian tidak didedahkan kepada umum.
  • Ukhuwah antara plaintif dan defendan kekal baik walaupun melalui prosiding ini, dengan matlamat utama adalah untuk penyelesaian demi kebaikan keluarga.


Empat anak Kalsom itu ialah Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa dan Noor Adilla sementara ibu mentuanya, Aminah Abdullah selaku defendan pertama hingga kelima.

Peguam syarie, Nur Hidayah A Bakar yang mewakili ibu Jamaludin, Aminah, 90, berkata demikian selepas prosiding kes itu dijalankan secara tertutup di hadapan Hakim Syarie, Abu Suffian Abu Yaziz.

“Ini bermakna, tiada lagi prosiding tuntutan di mahkamah, termasuk tuntutan harta pusaka Allahyarham.

“Alhamdulillah, semua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes ini, namun terma-terma penyelesaian yang terkandung dalam penghakiman persetujuan tidak dapat didedahkan,” katanya.

Ia adalah membabitkan harta sepencarian, termasuk 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat dan Arab Saudi dan saham dalam beberapa syarikat tempatan.

Menurutnya, sebelum ini mahkamah menetapkan Rabu untuk prosiding perbicaraan kes, namun hasil perbincangan, semua pihak sepakat untuk menyelesaikan ketegangan yang dihadapi.

Ditanya mengenai hubungan antara Kalsom selaku plaintif dengan semua defendan, Nur Hidayah berkata, ukhuwah antara mereka adalah sangat baik.

“Meskipun selepas persidangan kes ini, hubungan mereka akrab kerana matlamatnya ialah penyelesaian tuntutan demi kekeluargaan,” katanya.

Pada prosiding ini, Kalsom diwakili peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Kalsom, 68, selaku plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia dan Makkah serta beberapa syarikat pada Oktober 2018.

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada jam 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak; Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. - Sinar Harian